UTM tubuh Fakulti AI pertama negara

UTM tubuh Fakulti AI pertama negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menubuhkan Pusat Pengajian Kecerdasan Buatan pertama negara menerusi Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) dengan peruntukan awal bernilai RM20 juta.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, negara perlu bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global.

Katanya, penubuhan Fakulti AI selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.

Beliau berkata, penumpuan khusus diberikan dalam Belanjawan 2024 untuk membangunkan bakat yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam bidang AI dan robotik adalah bertepatan dalam meyakinkan pelabur serta industri.

“Penubuhan Fakulti AI ini bercorak pelbagai disiplin yang mampu menjadikan AI sebagai pemangkin kepada inovasi dalam pelbagai bidang antaranya industri pembuatan, kewangan, kesihatan, pertanian, tenaga boleh diperbaharui, keselamatan, ekonomi dan perubahan iklim.

“UTM berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri serta Kementerian Pendidikan Tinggi dan menerima tanggungjawab ini dengan penuh amanah untuk bersama membangunkan negara sepertimana yang dihasratkan dalam kerangka Ekonomi Malaysia Madani.

“UTM juga optimis bahawa fakulti ini berupaya memajukan peradaban manusia mengikut acuan Malaysia Madani,” katanya di sini, semalam.

Menurut Ahmad Fauzi, kejayaan inisiatif ini dapat dilaksanakan kerana UTM mempunyai lebih 100 pakar sedia ada dalam bidang AI merentasi pusat pengajian di universiti awam itu.

“UTM juga universiti awam yang mempelopori bidang ini dengan meluas. Kami mempunyai pusat kecemerlangan seperti Pusat Kecemerlangan Kepintaran Buatan dan Robotik (CAIRO), Pusat Data Raya (BDC), Pusat Penyelidikan Kardiovaskular IJN-UTM dan Institut Kejuruteraan Berpusatkan Manusia (iHumEn).

“Selain itu, UTM telah menghasilkan pelbagai inovasi berteraskan kecerdasan buatan seperti aplikasi robotik untuk industri, aplikasi perubatan dan kesihatan serta perisian pintar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×