Usah salah guna peruntukan Belanjawan 2024 untuk kekang suara pembangkang

Usah salah guna peruntukan Belanjawan 2024 untuk kekang suara pembangkang – Wan Saiful

ADUN Bersatu Selangor
WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta tidak menyalahgunakan peruntukan Belanjawan 2024 untuk mengekang suara pembangkang dengan mempergunakan isu agama, raja dan kaum (3R) sebagai alasan semata-mata. 

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jika tindakan itu dilakukan, ia melanggar prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, selaku Ketua Portfolio Komunikasi dan Digital Perikatan Nasional (PN), beliau bimbang dengan peruntukan RM2.84 billion kepada Kementerian Komunikasi dan Digital.

“Saya harap peruntukan ini diuruskan secara terancang dan berkesan demi memastikan matlamat dicapai sepenuhnya.

“Saya bimbang kerana sejak kebelakangan ini alasan 3R sering diperguna oleh kementerian untuk menyekat kritikan-kritikan terhadap dasar kerajaan dan pemimpin kerajaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam sesi perbahasan Belanjawan 2024.

Dakwanya, memperguna isu 3R untuk menyekat kebebasan bersuara bukan perkara baharu semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, sebuah Unit Pemantauan Isu Hina Islam ditubuhkan pada awal 2019.

“Kemudian pada Ogos 2019 dilaporkan bahawa SKMM menubuhkan “Platform 3R”, juga di bawah kerajaan PH.

“Nampaknya seolah-olah pentadbiran PH cuba membina persepsi bahawa perbincangan mengenai hak Melayu, Islam dan Raja-Raja adalah satu masalah yang perlu disekat oleh kerajaan,” katanya.

Sebaliknya, katanya, semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka tidak memainkan isu 3R. 

“Tetapi sekarang apabila PH kembali mendominasi kerajaan, tiba-tiba kerajaan sendiri yang kembali heboh mengenai 3R.

“Adakah wujud usaha kerajaan untuk mengekang pencabar politik dengan membentuk persepsi bahawa bercakap mengenai 3R adalah buruk dan kerajaan mesti menyekatnya. Sedangkan kalau kita bercakap mengenai hak komuniti Cina, India, Orang Asal, kelompok minoriti, dilihat bagus pula,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN