UPKO mahu lantikan pemimpin akar umbi guna formula 60:40

UPKO mahu lantikan pemimpin akar umbi guna formula 60:40

PETER JR NAINTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mencadangkan kepada kerajaan negeri agar menggunakan formula 60:40 dalam lantikan pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi.

Ketua Penerangan UPKO, Dr Peter Jr Naintin berkata, tidak perlu tunggu sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk melaksanakan perkongsian kuasa berdasarkan formula 60:40 berkenaan.

Beliau berkata, formula sebegitu perlu dilaksanakan sebaik sahaja kontrak lantikan pemimpin akar umbi sedia ada tamat pada hujun tahun ini.

“Kita tidak perlu tunggu sehingga PRN pada 2025 kerana dasar ini boleh dilaksanakan dengan semangat perkongsian bagi parti-parti politik yang menyokong kerajaan Sabah demi perpaduan rakyat di peringkat akar umbi.

“Perkongsian kuasa itu akan membuktikan keikhlasan dan kerjasama politik antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, difahamkan tempoh perkhidmatan pegawai-pegawai Mahkamah Anak Negeri (MAN) di Sabah akan berakhir pada hujung tahun ini. Perkhidmatan itu termasuk bagi jawatan Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri (KAN), Wakil Ketua Anak Negeri (WKAN), Ketua Masyarakat Cina dan ketua kampung.

Borang permohonan bagi jawatan pemimpin-pemimpin tempatan telah pun dikeluarkan oleh pihak MAN. Ia bermaksud pelantikan bagi jawatan-jawatan itu nanti adalah bagi tempoh 2024-2025, iaitu sehingga PRN Sabah yang akan datang.

Ini akan menjadi kriteria yang penting untuk menunjukkan tahap perkhidmatan, pelaksanaan dan penambahbaikan mampu dilaksanakan di peringkat akar umbi.

Semalam, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan yang dibentuk dengan kerjasama PH di Sabah baru berusia sembilan bulan maka, penyesuaian kepada agihan jawatan akan mengambil sedikit masa.
Masidi berkata, kerajaan tidak boleh bertindak menamatkan kontrak pemimpin akar umbi yang masih berkhidmat dengan sewenang-wenangnya.

Katanya, beri masa kepada kerajaan untuk membuat penyelarasan lantikan pemimpin-pemimpin di peringkat akar umbi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN