UiTM wujud ekosistem usahawan dalam kalangan mahasiswa - Utusan Malaysia

UiTM wujud ekosistem usahawan dalam kalangan mahasiswa

UiTM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) bersedia menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menumpukan latihan dan peningkatan bakat baharu dalam bidang berpotensi seperti ekonomi Islam, aeroangkasa dan industri kreatif.

Malah, universiti itu juga dikatakan mempunyai Institusi Pelaburan Bumiputera di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) bagi memperkasakan penguasaan pelaburan serta pemilikan hartanah dalam kalangan golongan itu.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, UiTM mempunyai kemampuan untuk melahirkan bakat dalam bidang berpotensi seperti disebutkan Perdana Menteri dalam pembentangan Belanjawan 2024, kelmarin.

“Berkaitan ekonomi Islam, selain bidang keusahawanan UiTM menyasarkan kemampuan untuk melahirkan pelabur-pelabur berkemahiran tinggi yang boleh menyertai pasaran pelaburan hartanah di peringkat global.

“Bagi keusahawanan pula, UiTM kini mewujudkan ekosistem baharu sektor tersebut dengan meluaskan peluang tersebut kepada mahasiswa melalui pemindahan Unit Ruang Niaga kepada HEP dalam program Koridor Keusahawanan Mahasiswa Kolej Kediaman,” katanya.

Beliau menambah, sektor aeroangkasa pula didedahkan melalui pengajian kejuruteraan seperti mekanikal dan sebagainya menjadikan universiti itu kehadapan dalam bidang tersebut yang mencakupi pendidikan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Terdahulu, Anwar dalam pembentangan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat memaklumkan insitutusi pendidikan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) termasuklah UiTM hendaklah menumpukan kepada latihan dan peningkatan kemahiran bakat baharu tempatan Bumiputera dalam bidang berpertumbuhan tinggi seperti ekonomi Islam, aeroangkasa dan industri kreatif.

Dalam pada itu, Mohd. Sazili turut mengulas kemudahan yang diumumkan Perdana Menteri berkenaan pinjaman dan jaminan dalam Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera sebanyak RM1.6 bilion.

“Melalui Koridor Keusahawanan Mahasiswa Kolej Kediaman kita sasarkan mahasiswa untuk menyertai keusahawanan dengan memiliki syarikat dan ruang niaga sendiri. Kita boleh sediakan premis berdasarkan kemampuan perniagaan mereka.

“Bila perniagaan mahasiswa ini mampu untuk berdaya saing, kita sasarkan mereka mengambil peluang yang disediakan oleh kerajaan dalam bentuk pinjaman, bantuan dan sebagainya. Kita mahu mereka menjadi pemain sebenar sebagai usahawan,” jelasnya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.