TVET jadi pilihan, UTeM terima 2,530 pelajar baharu

TVET jadi pilihan, UTeM terima 2,530 pelajar baharu

MASSILA Kamalrudin beramah mesra bersama pelajar baharu UTeM, Durian Tunggal, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima kemasukan seramai 2,530 pelajar baharu bagi program ijazah sarjana muda sesi 2023/2024 pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu Program Ijazah Sarjana Muda, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, jumlah kemasukan pelajar ke UTeM tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding 2,043 yang hadir mendaftar pada sesi 2022/2023.

Jelasnya, corak peningkatan itu jelas menunjukkan bahawa pengajian pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) aras tinggi mula menjadi perhatian serta pilihan.

“Pada masa yang sama trend ini menggambarkan UTeM terus menjadi pilihan lepasan matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan diploma bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.

“Seramai 820 pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).

“Manakala seramai 612 pelajar lagi mengikuti pengajian dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Massila, pelajar yang mendaftar dalam bidang sains komputer dan teknologi maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) pula seramai 596 orang.

“Selebihnya mendaftar bidang pengurusan teknologi dan teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan (FPTT) seramai 502 orang.

“Proses pendaftaran pelajar dilaksanakan secara sistem bersepadu yang efisien dan efektif di Dewan Canselor Kampus Induk UTeM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN