Tunggu lima jam sehingga tertidur di kerusi Unit Kecemasan HPP

Tunggu lima jam sehingga tertidur di kerusi Unit Kecemasan HPP

HOSPITAL Pulau Pinang di George Town adalah antara hospital awam yang sentiasa dipenuhi dengan pesakit menyebabkan tempoh menunggu khususnya di Unit Kecemasan hospital berkenaan didakwa terlalu lama sehingga mencecah lima jam sebelum dapat bertemu doktor. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Menunggu di Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang (HPP) sehingga berjam-jam lamanya bagaikan lumrah bagi pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Ada pesakit yang menunggu lebih lima jam di luar Unit Kecemasan HPP untuk berjumpa dengan doktor, malah ada yang terpaksa tidur di atas kerusi di luar unit berkenaan kerana tempoh menunggu yang terlalu lama.

Bagi seorang jurutera, Nur Syamimi Ibrahim, 35, dia pernah mendapatkan rawatan di HPP kerana demam panas dan kemudiannya disahkan dijangkiti virus kencing tikus.

Katanya, pengalaman menunggu di luar Unit Kecemasan HPP amat tidak manis untuk dikenang kerana dia yang amat lemah ketika itu terpaksa menunggu lebih lima jam sehingga tertidur di kerusi Unit Kecemasan sebelum dapat bertemu doktor.

“Pada Ogos lalu, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di hospital selepas lebih tiga hari diserang demam panas dan ubat-ubat yang diperoleh di klinik juga tidak berkesan untuk meredakan demam.

“Saya tiba di Unit Kecemasan kira-kira pukul 10 malam, saya hanya dapat bertemu doktor lima jam kemudian iaitu sekitar pukul 5 pagi dan dimasukkan ke wad pukul 10 pagi.

“Dalam keadaan tidak bertenaga dan seluruh badan sakit-sakit saya tertidur di atas kerusi di Unit Kecemasan HPP kerana tempoh menunggu yang lama, malah ada beberapa pesakit lain yang senasib dengan saya,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, rawatan doktor di HPP adalah terbaik kerana terdapat doktor pakar, namun tempoh menunggu untuk bertemu doktor serta mendapatkan katil di wad adalah terlalu lama.

“Saya berharap jumlah katil di wad dapat ditingkatkan bagi mengurangkan masa pesakit menunggu di Unit Kecemasan memandangkan rawatan dan kepakaran doktor di hospital kerajaan adalah terbaik.

“Sebagai pesakit yang tidak mempunyai kemudahan insurans kami terpaksa juga bersabar menunggu mendapatkan rawatan di HPP kerana kami tidak punya pilihan lain,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Mohaini Syuib, 40, berkata, dia pernah menemani adiknya untuk mendapatkan rawatan bagi anak bongsunya yang diserang cirit-birit dan demam.

“Anak saudara saya diletakkan di zon hijau di Unit Kecemasan dan tempoh menunggu untuk mendapatkan rawatan memang lama iaitu sekitar lima jam.

“Dia tidak dimasukkan ke wad kerana katil telah penuh dan doktor memberikan ubat-ubatan kepadanya, nasib baik cirit-birit dan demamnya pulih selepas memakan ubat yang dibekalkan doktor kerana kami tidak sanggup menunggu lama untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN