PETALING JAYA: Tular video menerusi aplikasi X mengenai dua tawanan Israel yang dibebaskan pejuang hamas tanpa syarat di Gaza.
Perkara itu mendapat perhatian ramai apabila kedua-duanya dilihat bersalaman dengan pejuang tersebut, semalam.
Dalam satu sidang media di Gaza, seorang daripada tahanan itu, Yocheved Lifshitz berkata, dia dibebaskan atas sebab kesihatan.
Ketika ditanya mengapa dia bersalaman dengan pejuang Hamas saat mereka dilepaskan, Lifshitz berkata, pejuang Hamas melayani kami dengan sangat baik dan mereka tidak membahayakan kami.
“Seorang paramedik dan seorang doktor juga datang bagi memastikan kami sentiasa ada ubat-ubatan yang perlu diambil semasa berada di bawah pantauan mereka.
“Mereka sangat cakna tentang kesihatan kami, malah, ada doktor yang memantau setiap dua tiga hari untuk memeriksa keadaan kami,” katanya.
Yocheved Lifshitz berkata mereka bertanggungjawab memastikan ada bekalan ubat, dan jika tiada ubat yang sama, mereka akan memberi ubat yang setara.
“Mereka sangat baik hati dan memastikan kami makan dengan baik. Kami dihidangkan makanan yang sama seperti mereka.
“Kami dilayan dengan baik. Mereka sangat prihatin dan Bersama mereka juga ada para wanita yang lebih tahu keperluan sesama wanita dan merekalah yang memastikan keperluan kami cukup.
“Malah, kami dijadikan kambing hitam untuk kepentingan kerajaan,” katanya.
Video ini menjadi tular dan mendapat perhatian seluruh dunia dengan layanan baik yang diberikan tentera Hamas kerana segelintir negara menggelarkan mereka sebagai pengganas.
Ini membuka mata masyarakat seluruh dunia bahawa segelintir media barat telah mengeluarkan kenyataan yang tidak benar mengenai isu ini.-UTUSAN










