Timbang keperluan pinda undang-undang berkaitan keganasan 

Dewan Rakyat: Timbang keperluan pinda undang-undang berkaitan keganasan 

perlembagaan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melihat keperluan menambah baik undang-undang berkaitan keganasan bagi mendepani cabaran ancaman keganasan di negara ini.

Undang-undang itu melibatkan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) 2015 dan Akta Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara (SMATA) 2015. 

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin berkata, kementeriannya sedia memberi pandangan dan nasihat kepada kementerian lain yang berhasrat meminda akta sedia ada.

“Kementerian melihat ada keperluan itu. Akta berkenaan (POTA dan SMATA) adalah di bawah kementerian lain, sama ada Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kementerian Luar akan memudahkan agensi kerajaan yang terbabit (untuk membuat penambahbaikan),” katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid [PN-Padang Terap] sama ada kerajaan berhasrat meneliti dan menambah baik undang-undang berkaitan keganasan seperti POTA dan SMATA.

Menjawab soalan asal Howard Lee Chuan How [PH-Ipoh Timor] mengenai keberkesanan Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCTT) dari Januari 2018 hingga Ogos lalu, Mohamad berkata, sebanyak 116 program dilaksana yang memberi manfaat kepada 4,886 peserta daripada pelbagai kumpulan sasar.

Katanya, kumpulan tersebut antaranya pegawai kerajaan, penguatkuasa undang-undang dan masyarakat awam, terdiri daripada ahli akademik, belia, pelajar universiti dan organisasi masyarakat sivil (CSO) dari dalam dan luar negara.

“Program ini berjaya meningkatkan pengetahuan dan keupayaan peserta dalam bidang pencegahan keganasan, selain membentuk kerjasama dengan pelbagai organisasi, termasuk agensi peneraju dalam bidang menentang keganasan, pihak swasta, institusi pendidikan, pertubuhan pemikir dan CSO.

“SEARCCT akan terus menggiatkan usaha untuk merancang dan melaksanakan program yang sentiasa peka dengan perkembangan semasa, selain mengukuhkan kerjasama dengan organisasi berkaitan pencegahan keganasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN