Tiga sahabat termasuk seorang wanita bebas tuduhan membunuh

Tiga sahabat termasuk seorang wanita bebas tuduhan membunuh, mayat tidak ditemukan

TIGA sahabat termasuk seorang wanita keluar dari Mahkamah Persekutuan Putrajaya selepas dibebaskan daripada hukuman gantung atas kesalahan membunuh seorang lelaki tujuh tahun lalu yang mayatnya masih belum ditemukan sehingga kini. -UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tiga sahabat termasuk seorang wanita dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini daripada sabitan dan hukuman gantung atas kesalahan membunuh seorang lelaki, tujuh tahun lalu yang mayatnya masih belum ditemukan sehingga kini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir Mohd. Zulhiami Md. Darus, 37, Siti Nor Asiah Abdul Wahab, 32, dan Muhammad Rahmat Nazarudin, 29.

Beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah dan Datuk Abu Bakar Jais berpuas hati bahawa perbicaraan terhadap ketiga-tiga perayu berlangsung tanpa menepati kehendak undang-undang.

Panel itu berpendapat, barisan peguam bela perayu menimbulkan isu bahawa ketiga-tiganya dinafikan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil.

“Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, alasan penghakiman dan rekod rayuan, kami berpuas hati keseluruhan perbicaraan berlangsung dengan cara yang tidak menepati undang-undang.

“Perbicaraan itu memprejudiskan perayu-perayu mengakibatkan sabitan tidak selamat. Oleh yang demikian perintah Mahkamah Tinggi yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan, diketepikan,” ujar Hakim Tengku Maimun ketika membacakan keputusan ringkasnya.

Sebaik mahkamah menangguhkan sidang, Mohd. Zulhiami dan Muhammad Rahmat dilihat berpelukan dalam kandang perayu manakala Siti Nor Asiah yang terkejut turut mengalirkan air mata.

Tiga sahabat itu merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 April 2022 yang mengesahkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Oktober 2019.

Pada asalnya, Mohd Zulhiami dan Siti Nor Asiah didakwa bersubahat bersama Muhammad Rahmat membunuh Mohammad Fairul Haqiemie, 21, antara pukul 12.30 tengah malam dan 1 pagi pada 29 Ogos 2016 di sebuah pangsapuri di Jalan Dato Yusof Shahbudin 3 Taman Sentosa Klang.

Muhammad Rahmat turut didakwa membunuh Mohammad Fairul Haqiemie pada pukul 4 pagi, di lokasi dan hari sama.

Keterangan kes menyatakan, Mohammad Fairul (mangsa) merupakan teman lelaki baharu Siti Nor Asiah manakala saksi penting pendakwaan yang juga saksi mata kejadian, Zairul Noraidi Shahidin adalah bekas teman lelaki wanita itu.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Abdul Halim Aman meminda pertuduhan pada akhir kes pendakwaan iaitu masa dan tarikh kejadian pada pukul 4 pagi, 30 Ogos 2016 manakala tempat kejadian tidak berubah.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Peguam-peguam Datuk Geethan Ram Vincent mewakili Siti Nor Asiah, Kitson Foong mewakili Mohd. Zulhiami dan Fahri Azzat mewakili Muhammad Rahmat manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Parvin Hameedah Mohd. Khaja dan Aida Khairuleen Azli mewakili pihak responden.

Terdahulu, pasukan pembelaan menghujahkan, wujud percanggahan yang besar pada tarikh kejadian yang memerlukan campur tangan mahkamah tertinggi negara untuk memperbetulkannya.

Hujah pembelaan, hakim bicara meminda butiran pertuduhan pada akhir kes pendakwaan tanpa memaklumkan kepada peguam bela mahupun ketiga-tiga tertuduh menyebabkan tiga sahabat itu membela diri terhadap pertuduhan asal.

Kitson berhujah, pindaan itu hanya disedari oleh pihak pembelaan selepas meneliti rekod rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

“Hakim bicara sepatutnya memaklumkan bahawa butiran pertuduhan telah diubah dan anak guam perlu membela diri terhadap pertuduhan pindaan, namun perkara tersebut tidak dilakukan.

“Kegagalan hakim bicara memaklumkan pindaan tersebut menafikan hak anak guam kami mendapat perbicaraan yang adil atau mengemukakan pembelaan alibi ketika membela diri,” hujah Kitson.

Sementara itu, Geethan Ram dan Fahri berhujah, kedua-dua mahkamah terdahulu gagal menimbang keterangan Zairul Noraidi yang juga saksi pendakwaan ketujuh (SP7) yang disifatkan oleh pihak pembelaan sebagai rakan sejenayah dalam kes itu.

Hujah peguam bela, SP7 iaitu saksi mata dan individu yang terakhir dilihat bersama-sama mangsa, merupakan individu yang tidak boleh dipercayai dan keterangan lelaki itu tidak sepatutnya diterima oleh mahkamah.

Pada perbicaraan lalu, Zairul Noraidi ketika memberi keterangan menyatakan dia nampak tertuduh ketiga (Muhammad Rahmat) memukul kuat kepala si mati dengan kayu hingga menyebabkan kayu berkenaan patah.

SP7 turut menyatakan, dia melihat mangsa rebah menggelupur dan nampak darah di lantai serta dinding akibat pukulan itu.

Keterangan SP7 turut menyatakan, dia melihat Siti Nor Asiah dan Muhammad Rahmat berbincang, malah Siti Nor Asiah mencadangkan mayat dibungkus dengan tilam.

Muhammad Rahmat memberitahu saksi (SP7), dia memukul si mati atas upah duit yang ditawarkan Siti Nor Asiah. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN