Tiada siapa peduli jalan berlubang hampir setahun

Tiada siapa peduli jalan berlubang hampir setahun

AHMAD SUFIAN Abdul Razak menunjukkan lubang di laluan utama Taman Balok Permai yang dikatakan berpunca dari dikorek untuk membaiki paip air rosak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sikap kontraktor yang mengabaikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika kerja-kerja mengorek tanah sehingga menyebabkan jalan raya berlubang menyebabkan kira-kira 3,000 penduduk Taman Balok Permai di sini bimbang terhadap keselamatan mereka.

Difahamkan lubang berkenaan berpunca daripada kerja-kerja mengorek tanah bagi membaik pulih paip pecah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Perumahan Balok Permai, Ahmad Sufian Abdul Razak, 52, berkata, sebanyak tiga jalan berlubang yang dilihat boleh mengancam keselamatan penduduk perumahan tersebut.

“Terbaharu adalah di laluan utama masuk ke perumahan yang mana selepas dikorek, ia tidak dikambus atau dibaiki semula sejak sekitar enam bulan lalu.

“Ada juga jalan berlubang sejak lapan bulan lalu dan ada juga sudah hampir setahun namun sehingga kini, pihak bertanggungjawab tidak datang untuk membaikinya kembali walaupun aduan sudah dibuat beberapa kali,” katanya di sini semalam.

Kata Ahmad Sufian, sepatutnya pihak bertanggungjawab membaikpulih kembali jalan-jalan yang berlubang sekurang-kurangnya seminggu selepas ia dikorek.

“Tapi kesemua lubang ini tidak dikambus dan diturap sehingga mengakibatkan bahaya dan tidak selamat untuk penduduk di sini terutama lagi kanak-kanak yang berbasikal untuk ke sekolah kerana kebanyakkan jalan berlubang adalah di laluan utama untuk ke sekolah.

“Setakat ini sudah ada tiga kes kejadian penduduk jatuh di sini. Walaupun tiada kes yang sampai patah kaki lagi, tapi luka teruk juga.

“Terutama di waktu malam… ada antara pengguna laluan ini yang tidak perasan dengan kewujudan lubang itu dan ada juga tidak sempat mengelak kerana bersekisih dengan kenderaan lain,” katanya.

Sufian justeru itu meminta agar pihak terlibat segera datang untuk membaikpulih semula laluan terbabit untuk kemudahan dan keselamatan masyarakat setempat.

“Untuk sementara ini, kalau betul tak sempat sangat, datanglah juga letak tanda amaran untuk keselamatan supaya penduduk nampak. Sebelum ini kita pernah letak kon dan tali pita penghadang di laluan terbabit namun lama kelamaan tanda yang kami letak hilang mungkin telah diambil atau dialih seseorang,” katanya.

Difahamkan salah satu laluan di perumahan berkenaan menjadi laluan utama buat ibu bapa dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Chengal Lempong.

Bagi seorang suri rumah, Suhana Ismail, 49, dia sentiasa menggunakan laluan berlubang berkenaan untuk menghantar anak ke sekolah dan sering kali merasa bimbang akan keselamatan anaknya setiap kali melalui jalan tersebut.

“Kalau pagi-pagi memang sibuk di sini sebab ramai yang hantar anak ke sekolah. Disebabkan lubang ini, jalan jadi makin sempit. Bila berselisih itu, saya rasa takut kerana selain perlu mengelak kereta lain, saya perlu mengelak lubang juga.

“Lubang di laluan utama agak dalam sekitar empat inci dengan kelebaran sekitar dua meter jadi setiap kali itu saya akan rasa risau bila tahu anak akan guna laluan ni untuk ke sekolah,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN