KUALA LUMPUR: Komposer dan pemuzik terkenal, Mac Chiew berharap penjadualan dan kawalan penganjuran konsert di negara ini dapat dilakukan di masa akan datang.
Kata Mac, tindakan itu membolehkan kuasa beli (tiket) berterusan lebih-lebih lagi terhadap konsert yang dianjurkan artis tempatan.
“Konsert, termasuk artis luar masa sekarang terlalu banyak. Ia sihat, tapi kita tak boleh jangka penonton akan beli tiket setiap minggu. Mereka terpaksa membuat pilihan.
“Pada masa sama, tak semua artis tempatan dapat tarik pembeli tiket ke konsert mereka.
“Jadi saya harap ada penjadualan lebih baik untuk peluang yang lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam masa yang sama, tindakan artis yang memberikan tiket percuma gara-gara jualan yang kurang memberangsangkan juga mendatangkan perkara negatif.
“Tak ada masalah kalau seseorang artis itu nak bagi tiket percuma, cuma tindakan itu tak boleh dibuat selalu.
“Ia tidak sihat dan tiada siapa buat konsert untuk rugi,” jelasnya.