PETALING JAYA: Ketiadaan pangkalan data bersepadu antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) menyukarkan pihak universiti mengenal pasti keperluan sebenar tenaga pengajar di sekolah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, kerajaan perlu meneliti semula kaedah pengambilan guru baharu berlandaskan kekosongan subjek-subjek di sekolah.
Katanya, pada masa ini, universiti yang menawarkan pengajian dalam bidang pendidikan menggunakan sistem pengambilan pelajar secara terbuka tanpa halangan kemasukan dalam bidang-bidang tertentu.
“Justeru, dengan ada pangkalan data yang jelas, pihak universiti dapat membantu mempelbagaikan kursus minor pendidikan bagi memenuhi keperluan di peringkat sekolah.
“Kaedah ini akan membolehkan mahasiswa untuk mengisi kekosongan jawatan guru bagi subjek yang bukannya teras dalam bidang pengajian yang diambil,” katanya ketika dihubungi.
Selain daripada itu, kata Md. Amin, unjuran keperluan guru secara berkala yang menggunakan kaedah pangkalan data yang besar dapat membantu mengatasi isu kekurangan guru dari semasa ke semasa.
Katanya, tawaran subjek minor bagi pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) membolehkan mahasiswa mempunyai kefahaman untuk mengajar mata pelajaran yang lain daripada kursus yang diambil.
Tambah beliau, tawaran kursus minor bagi subjek yang terdapat di sekolah rendah dan menengah kepada pelajar bukan bidang pendidikan juga membolehkan mereka dapat menceburi kerjaya guru sekali gus dapat membantu menyelesaikan isu kekurangan guru dalam subjek-subjek tertentu.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, kaedah menggunakan guru daripada subjek lain mengajar mata pelajaran yang bukan merupakan opsyen mereka, bakal menimbulkan permasalahan.
“Misalnya bagi isu kekurangan guru untuk Pendidikan Islam, pelantikan guru yang mengajar bagi subjek tersebut hendaklah mereka yang betul-betul mempunyai pemahaman berkaitan agama dan mata pelajaran tersebut.
Katanya, pemahaman guru untuk mengajar sesuatu subjek amatlah penting kerana akan memberi impak positif daripada penerimaan pelajar yang diajarnya. – UTUSAN










