Tiada lesen memandu kesalahan tertinggi kenderaan komersial

Tiada lesen memandu kesalahan tertinggi kenderaan komersial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Kesalahan tiada lesen memandu yang tertinggi direkodkan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan membabitkan ken­deraan komersial (Perdagangan) di ne­geri ini sejak Januari hingga September lalu.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, bagi kesalahan berkenaan, sebanyak 4,711 kes direkodkan daripada jumlah keseluruhan saman yang dikeluarkan iaitu sebanyak 15,639 dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, kesalahan ke­dua tertinggi pula melibatkan pelesenan kenderaan iaitu sebanyak 3,785 diikuti kesalahan teknikal kenderaan (2,882); le­bih muatan (2,160) dan lain-lain kesalahan (1,274) dan kesalahan utama (827).

“Pemandu kenderaan mestilah mempunyai lesen memandu yang sah tidak mengira mereka itu warganegara Malaysia ataupun bukan warganegara. Sekiranya kami dapati pemandu tidak mempunyai lesen yang sah, saman akan dikeluarkan dan tindakan penyitaan kenderaan akan dibuat jika pemandu tidak mempunyai lesen yang sah.

“Dalam keadaan itu juga JPJ akan melaksanakan siasatan pengauditan ke atas kenderaan yang didapati melakukan ke­salahan berulang kali.

“Sekiranya didapati mereka ini melakukan kesalahan de­ngan banyak dan pengauditan telah dilaksanakan, mereka berisiko untuk digantung perlesenanan dan digantung lesen perkhidmatan mereka di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010,” katanya kepada pemberita sempena Operasi Penguatkuasaan Khas Kende­raan Komersial (Perdagangan) di Stesen Penguatkuasa Pedas, di sini.

Sebagai rekod, JPJ Negeri Sembilan memeriksa 33,156 kenderaan komersial sepanjang tempoh Januari hingga September lalu dan sejumlah 9,607 buah daripadanya telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Sementara itu, Hanif Yusabra berkata, operasi berkenaan bertujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan ke atas pemandu serta juga pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Kaedah-kaedah di bawahnya serta APAD 2010. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN