PETALING JAYA: Datuk Idris Ahmad tidak pernah melobi atau berusaha mempengaruhi mana-mana pihak bagi mendapatkan jawatan tertinggi dalam Muktamar Tahunan Pas yang akan berlangsung bulan depan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Pas itu menyerahkan segala keputusan kepada para perwakilan untuk meletakkannya dalam mana-mana jawatan atau yang lebih tinggi daripada jawatan didudukinya ketika ini.
Ahli Parlimen Bagan Serai itu juga tidak kisah jika tidak memegang sebarang jawatan dalam parti.
“Terpulanglah kepada perwakilan kerana saya tidak pernah melobi apa-apa jawatan pun. Tiada jawatan pun lebih baik. Jika ada jawatan dan amanah diberi, kita laksanakan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau tidak akan mempertahankan jawatan itu pada sesi pemilihan nanti.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, keputusan tersebut dibuat bagi memberi laluan kepada muka baharu.
Sehubungan itu, beliau juga terbuka dan tidak melarang ahli partinya bertanding sebarang jawatan jika jumlah pencalonannya cukup namun beliau menjangka yang jawatan itu tidak akan dicabar sesiapa.
“Saya sendiri hanya akan bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan tidak akan mempertahan jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat,” katanya.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula dilaporkan berkata, lima pemimpin tertinggi Pas kekal menerajui parti untuk dua tahun lagi apabila kesemua mereka tidak dicabar bagi mana-mana calon dalam pemilihan kali ini.
Beliau mengesahkan tiada pertandingan berlangsung untuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden.
Muktamar Tahunan Pas kali yang ke-69 akan diadakan di Shah Alam pada 20-22 Oktober 2023. Persidangan itu pada awalnya dirancang diadakan di Kelantan pada 3-5 Mei lalu namun ditangguh bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Negeri ke-15 (PRN-15). – UTUSAN










