PUTRAJAYA: Thailand mengiktiraf sijil halal Malaysia untuk digunakan bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan seterusnya berupaya memasarkan produk tersebut ke peringkat antarabangsa.
Dalam sidang akhbar bersama, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin berkata, Thailand merupakan sebuah negara yang mempunyai keselamatan makanan selain dilengkapi dengan produk pertanian yang maju.
“Jadi, kami merasakan boleh meningkatkan produktiviti. Malaysia memerlukan makanan dan mempunyai jenama halal yang boleh membantu Thailand untuk menjualnya ke seluruh dunia.
“Dengan pensijilan itu, kita boleh meluaskan pasaran produk halal ke seluruh dunia serta akan meningkatkannya,” katanya di bangunan Perdana Putra selepas mesyuarat bilateral antara kedua-dua pemimpin, di sini hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Thailand itu menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Dalam pada itu, Srettha berkata, perbincangan bersama Anwar turut menyentuh mengenai isu keselamatan negara di utara Malaysia dan selatan Thailand yang turut menjadi perhatian kedua-dua kerajaan.
“Kita bersetuju untuk meningkatkan kemajuan di selatan Thailand seterusnya membolehkan rakyat di utara Malaysia juga akan menikmati kepesatan pelaburan serta kewangan antara kedua-dua negara.
“Kita menikmati nilai pelaburan yang baik dan jumlahnya perlu ditingkatkan dengan perancangan yang ingin dilaksanakan. Sasaran akan ditetapkan kelak dan berharap mencapainya dalam masa terdekat,” ujarnya.
Pada masa sama, Sretta berkata, pihaknya juga akan memainkan peranan untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong Thailand ke Malaysia memandangkan angka sedikit rendah ketika ini.
“Malaysia merupakan antara negara utama melawat Thailand dalam masa beberapa tahun sebelum ini, tetapi warga Thailand ke sana hanya sekitar suku juta sahaja.
“Itu rendah dan kita perlu tingkatkan jumlahnya, dan sekali lagi, jawatankuasa khas itu akan diwujudkan dan kita akan tetapkan sasaran baharu,” katanya.
Pada 2022, Thailand merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di dunia, dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM122.03 bilion (AS$27.75 bilion), meningkat 17.9 peratus berbanding RM97.55 bilion (AS$23.54 bilion) pada 2021. – UTUSAN