SEREMBAN: Aktiviti penerokaan hutan termasuk pembalakan dan perladangan menjadi antara punca berlakunya kejadian haiwan liar keluar dari habitatnya dan sering kelihatan di kawasan penempatan penduduk.
Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, perkara tersebut juga berkemungkinan berlaku dalam kes konflik penduduk dan harimau kumbang yang sering dilaporkan ketika ini di Negeri Sembilan.
“Tidak dinafikan ia salah satu faktor berlakunya konflik antara hidupan liar dengan manusia terutama isu harimau kumbang masuk ke kawasan penempatan dan kebun penduduk.
“Ia adalah kerana eksploitasi, fregmentasi dan pemusnahan kawasan hutan yang merupakan habitat hidupan liar terutama ekoran aktiviti pembalakan dan untuk tujuan pertanian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai beberapa kejadian harimau kumbang masuk ke dalam perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, khususnya di daerah Kuala Pilah dan Rembau kebelakangan ini.
Difahamkan, bilangan harimau kumbang yang ditangkap dan masuk ke perangkap dipasang Jabatan Perhilitan sepanjang tahun ini di Negeri Sembilan setakat ini mencecah jumlah 13 ekor.
Ia termasuk tiga ekor haiwan liar itu yang masuk masuk ke dalam perangkap di Kampung Beting Ulu, Kuala Pilah sejak 18 September lalu.
Penduduk di situ turut mendakwa kekurangan makanan untuk haiwan itu seperti babi hutan di habitatnya selain aktiviti pengeluaran kayu balak menyebabkan harimau kumbang semakin kerap memasuki perkampungan tersebut. – UTUSAN









