Tengkorak, rangka dua manusia ditemukan atas bumbung bangunan - Utusan Malaysia

Tengkorak, rangka dua manusia ditemukan atas bumbung bangunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Peniaga dan orang ramai di Jalan Kelab, Sitiawan, dekat sini, gempar apabila dua tengkorak dan tulang manusia dipercayai mangsa bunuh, ditemui di atas bumbung sebuah rumah kedai yang terletak di situ semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, dua tengkorak tersebut ditemui dalam dua beg plastik manakala tulang dipercayai manusia berada di atas bumbung rumah kedai yang bersebelahan cawangan sebuah bank tempatan itu.

“Rangka manusia itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat,” katanya di sini.

Menurutnya, kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang sabit kesalahan dihukum gantung sampai mati.

Terdahulu, beliau memberitahu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan telefon daripada seorang wanita pada pukul 10.20 pagi memaklumkan penemuan serpihan tulang disyaki tulang manusia di situ.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemui dua rangka manusia yang tidak diketahui jantina serta identitinya.

Beliau memberitahu, turut ditemui ialah sehelai bendera Perak, beberapa potongan perekat berwarna hitam, cebisan kain berwarna-warni, cebisan baju kemeja putih yang sudah kotor dan sarung bantal berwarna biru.

Selain itu, jelasnya, turut ditemui ialah dua bungkusan plastik berwarna merah yang mana setiap satu berisi tengkorak manusia dan sebilah pisau dengan hulunya berwarna hitam.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung, Asisten Superintendan Azalan Ab. Karim di talian 019-3927837. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN