PETALING JAYA: Pementasan ‘Balada Si Angsa Hitam’ karya Datuk Noordin Hassan bersempena 30 tahun penganugerahan beliau sebagai Sasterawan Negara sudah dirancang sebelum konflik Israel-Palestin belum bermula.
Pengarah teater tersebut , A. Wahab Hamzah berkata, berita serangan Israel terhadap Palestin mula tersiar dalam akhbar di seluruh dunia selepas seminggu latihan pementasan itu berjalan.
“Pihak kami tidak mengharapkan situasi semasa di rantau berkenaan bagi menarik penonton.
“Secara kebetulan sahaja pergolakan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza meletus. Jangan kata kami sudah meramalkannya. Tiada siapa yang inginkan peperangan,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.
Terdahulu, teater ini akan dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa Pustaka (DBP) selama empat hari pada 1 hingga 4 November ini, jam 8.30 malam manakala pratontonnya akan diadakan malam ini
Teater ini bukan hanya dilakonkan oleh pelakon lama dan baharu seperti Niesa Idrus, Lisa Audrey, Zafran Hisham, Khai Sabri, Art Omar, Rasdi Daud, Badrul Hisham, Roydy Rokidy, tetapi turut menampilkan pelakon berasal dari Tajikistan Sabrina Abdulloeva serta pelakon dari Kenya Tanya Mikes.
Menurut Wahab, beliau mula merancang dan menulis struktur skrip teater itu pada tahun lalu, namun hanya pada awal tahun ini apabila Kumpulan Teater Badan Budaya DBP bersetuju untuk memilihnya sebagai naskhah bagi pementasan Teater Perdana, maka penulisannya dilakukan sepenuhnya.
“Saya cuba memperkuatkan perwatakan, menyelaraskan peristiwa dan memastikan unsur-unsur dramaturgi kuat dan sesuai dengan pementasan Teater Perdana DBP agar sentiasa mementingkan kekuatan naskhah dan pementasan yang berkualiti,” Katanya.
Balada Si Angsa Hitam mengisahkan ketabahan dan kekuatan tiga wanita, iaitu Suhaila dari Beirut, neneknya, Haleena dan gadis kulit hitam dari Habsyah, Nana yang berjuang dalam menghadapi kekejaman perang dan tekanan daripada kuasa-kuasa yang mencengkam. –UTUSAN