KOTA KINABALU: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon campur tangan Tuan Yang Terutama (TYT), Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin mengenai isu tuntutan tanah adat di Tongod dan Kunak.
Penyelaras MHO Sabah, Jerry Jaimeh berkata, campur tangan Yang Dipertua Negeri penting dalam memastikan proses mendapatkan hak pemilikan tanah adat melibatkan 67 orang penduduk kampung dapat dipercepatkan.
Beliau berkata, usaha menyerahkan surat kepada Istana Negeri tidak dapat dilakukan baru-baru ini susulan Yang Dipertua Negeri menerima kunjungan tetamu khas maka, MHO akan menghantar surat melalui kiriman pos bagi memohon campur tangan Tun Juhar dalam menyelesaikan isu tuntutan tanah berkenaan.
Malah, pihaknya juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tuntutan tanah adat bagi kedua-dua daerah terlibat.
“Kami telah mengemukakan aduan kepada SPRM di Putrajaya pada Mei lalu bagi isu tuntutan tanah di Kunat. Susulan itu, SPRM telah mendapatkan maklumat dan memanggil kira-kira 80 orang penduduk untuk membantu siasatan.
“Sehingga kini, siasatan masih berjalan dan berkemungkinan kes ini sudah dipanjangkan ke Timbalan Pendakwa Raya untuk penilaian sama ada pendakwaan akan dilakukan mahupun tidak.
“Begitu juga dengan kes di Tongod, siasatan telah dilakukan oleh SPRM Sandakan dan telah berjumpa wakil penuntut bagi menyiasat tentang isu tuntutan tanah adat membabitkan 680 ekar ini,” katanya,-UTUSAN










