Cina sokong DAP, Melayu undi UMNO-Pas

Cina sokong DAP, Melayu undi UMNO-Pas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM politik Malaysia, apabila pilihan raya semakin dekat, kaum mula disebut, identiti mula dimainkan dan pengundi pula seakan-akan sudah ditetapkan ke mana mereka akan mengundi.

Cina akan sokong DAP. Melayu akan sokong UMNO atau Pas.Begitulah politik diterjemahkan oleh sesetengah pemain politik. Seolah-olah setiap pengundi datang ke pusat mengundi dengan bangsa tercetak di dahi dan parti pilihan pula sudah tertulis pada kad pengenalan.

Sedangkan realitinya, manusia jauh lebih kompleks daripada itu. Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, politik khidmat menjadi antara perkara yang lebih wajar diberi perhatian. Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sudah dibubarkan dan tempoh pilihan raya kini semakin dekat.

Dalam tempoh inilah parti-parti politik akan kembali berlumba-lumba meyakinkan rakyat. Akan ada ceramah. Akan ada poster. Akan ada slogan dan seperti biasa, tidak mustahil akan ada juga cerita tentang siapa membela Melayu, siapa menjaga Cina, siapa lebih Islam dan siapa pula kononnya ancaman kepada sesuatu kaum.

Namun, pengundi mungkin bertanya soalan lebih mudah: ‘apa yang sudah dibuat untuk kami?’

Di Duyong, pendekatan Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem memberikan contoh menarik bagaimana politik khidmat boleh merentasi tembok kaum.

Rekod khidmat beliau sepanjang hampir lima tahun disebut sebagai antara faktor yang mengukuhkan sokongan terhadapnya. Aktiviti kemasyarakatan yang dilakukannya turut mendapat perhatian kerana pendekatannya yang dikatakan tidak memilih kaum ketika membantu masyarakat.

Lebih menarik, sokongan itu bukan hanya datang daripada satu kelompok. Seorang pengundi berbangsa Cina sanggup menukar tempat mengundi sebagai tanda sokongan kepada Mohd. Noor Helmy. Alasannya cukup mudah, beliau melihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu turun padang dan membantu masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

Di sinilah politik khidmat menjadi menarik. Ketika ada ahli politik sibuk memberitahu orang Cina bahawa Cina mesti bersama DAP dan orang Melayu mesti memilih UMNO atau Pas, Duyong memberikan satu realiti yang menafikan formula tersebut.

Rakyat mungkin mempunyai identiti kaum tetapi masalah rakyat tidak memilih kaum.

Longkang tersumbat tidak bertanya siapa penghuninya, Melayu atau Cina. Jalan berlubang tidak memeriksa parti politik sebelum merosakkan motosikal. Anak sakit tidak bertanya sama ada bantuan datang daripada UMNO, DAP atau Pas.

Begitu juga ibu yang memerlukan bantuan. Dia tidak memerlukan slogan. Dia memerlukan penyelesaian.

Sebab itu, politik yang terlalu malas untuk turun padang akhirnya terpaksa menggunakan sentimen. Lebih mudah memberitahu rakyat bahawa kaum kamu sedang terancam daripada menerangkan berapa banyak masalah rakyat yang benar-benar sudah diselesaikan.

Lebih mudah bercakap mengenai siapa musuh daripada menunjukkan rekod perkhidmatan. Lebih mudah menjual ketakutan daripada membina kepercayaan.

Tidak bermakna politik identiti langsung tidak mempunyai tempat dalam pilihan raya. Isu bahasa, agama, budaya, hak dan kepentingan komuniti memang menjadi sebahagian daripada perbincangan politik Malaysia. 

Dalam pilihan raya, janji boleh dibuat dalam sehari. Kepercayaan pula perlu dibina bertahun-tahun dan kepercayaan, tidak kira Melayu, Cina atau India, biasanya tidak mengenal warna parti.

Hadi Ab. Manap ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

×