'Tak sampai 10 minit, air naik satu meter'

‘Tak sampai 10 minit, air naik satu meter’

MANAN Ramli menunjukkan kayu balak yang hanyut dibawa arus deras banjir sebelum tersadai di tebing Sungai Chepir berhampiran rumahnya di Kampung Lubuk Tualang, Sik, Kedah -UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Lebih 100 rumah daripada 11 kampung di tiga mukim iaitu Mukim Sok, Mukim Sik dan Mukim Teloi di daerah ini dilanda banjir ekoran hujan lebat lebih dua jam bermula pukul 4 petang semalam. 

Insiden banjir di beberapa kampung itu dianggap paling teruk berlaku sejak 60 tahun lalu apabila air Sungai Chepir melimpah terlalu cepat memasuki ke dalam rumah mereka. 

Penduduk Kampung Lubuk Tualang, Rafeah Yaakob, 67, berkata, walaupun berlaku hampir setiap tahun, kejadian banjir yang terbaru itu dianggap paling teruk selepas 60 tahun dia tinggal di situ.

“Setiap tahun jika air sungai naik, biasanya hanya paras lutut sahaja tapi kali ini mencecah satu meter, banyak barang dan perkakasan rumah tidak sempat diselamatkan kerana air naik terlalu cepat membuatkan saya dan ahli keluarga kelam-kabut.

“Kami hanya sempat mengangkat peti sejuk dan beberapa barangan sahaja, yang lainnya telah ditenggelami air,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Rafeah, rumah pusaka yang didiaminya itu juga dalam keadaan bahaya apabila tebing sungai di belakang rumahnya runtuh yang hanya berjarak kurang satu meter daripada lantai rumah.

Ibu tunggal kepada empat orang anak itu mengakui bimbang kerana rumahnya mungkin tidak lagi selamat diduduki kerana sekiranya berlaku banjir sekali lagi kemungkinan besar lantai rumahnya akan turut runtuh.

“Saya tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah kerana sumber kewangan saya juga terhad, hanya bekerja sebagai penoreh getah dan menjual hasil kampung. Saya harap pihak berkenaan dapat segera baiki tebing sungai ini kerana ia sudah tidak sampai sejengkal dengan rumah saya,” katanya.

Jirannya, Manan Ramli, 59, berkata, air mula melimpah ke rumahnya kira-kira pukul 6.30 petang semalam dan banjir kali ini turut menghanyutkan sebatang kayu balak ke tebing sungai bersebelahan rumahnya selepas kejadian sama berlaku tiga tahun lalu.

“Sebaik melihat air semakin tinggi memasuki kawasan rumah, saya terus pindahkan kereta dan motosikal ke tempat lebih tinggi, kemudian redah banjir bawa isteri dan tiga cucu yang masih kecil ke rumah jiran, masa itu air sudah naik setengah meter. Tidak sampai 10 minit air naik mendadak hingga ke paras satu meter dan kami tak dapat selamatkan barangan lain,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sik, Shamsul Izrin Isahak berkata, seramai 67 mangsa daripada 20 keluarga di 11 kampung di tiga mukim berkenaan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“PPS yang dibuka adalah PPS Balai Islam Kampung Tanjung Belit yang menempatkan seramai 62 mangsa dan PPS Surau Kampung Belimbing serta PPS Sekolah Kebangaaan (SK) Chepir masing-masing lima mangsa.

“Antara kampung terlibat adalah Kampung Banggol Kiat, Kampung Jerai, Kampung Belimbing, Kampung Seberang Pekan Sik, Kampung Kemelong, Kampung Pinang Kampung Surau, Kampung Charok Padang, Kampung Tanjung Besar, Kampung Charok Pelanduk dan Kampung Merbau Kudung,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN