Taibah sering bercakap bab mati dengan suami, anak-anak

Taibah sering bercakap bab mati dengan suami, anak-anak

Md. Noor Hassan (kiri) memerhatikan anak keenamnya. Imaddudin menyiram air mawar di pusara isterinya, Taibah Sulaiman di Tanah Perkuburan Islam Teluk Wang, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Ketua Muslimat Pas Sungai Petani, Taibah Sulaiman, 61, yang maut dalam dalam nahas jalan raya di Kilometer 390, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara petang semalam sering bercakap soal kematian dengan suaminya sebelum menghadiri Muktamar Pas di Shah Alam, Rabu lalu.

Malah, ibu kepada lapan orang anak itu turut meminta salah seorang daripada empat anak lelakinya mengimamkan solat jenazahnya jika dia meninggal dunia dalam masa terdekat.

Menurut suaminya, Md. Noor Hassan, seminggu lalu isterinya kerap berbual dengannya berkaitan kematian, dosa pahala selain menasihatinya jangan sesekali meninggalkan solat.

“Saya pada mulanya menganggap percakapannya itu hanya biasa memandangkan dia merupakan salah seorang ahli yang mengurus jenazah di daerah ini selama ini.

“Tetapi sekitar pukul 3 petang semalam selepas menerima panggilan telefon berkaitan kejadian yang menimpanya saya terkejut kerana ia menjadi kenyataan,” katanya.

Md. Noor yang juga pemilik kedai percetakan di Taman Pekan Baru berkata, dia juga mendapat petanda perkara buruk akan menimpa isterinya selepas berada dalam keadaan gelisah, berdebar dan tidak boleh tidur seperti biasa selepas menunaikan solat Jumaat semalam.

“Kebiasaanya saya akan tidur sekejap tetapi petang semalam saya langsung tidak dapat berbuat demikian sebaliknya asyik teringatkan dia.

“Walaupun terkejut menerima berita itu saya tetap tenang dan menganggap ini adalah ketentuan Allah sebelum bergerak ke Hospital Slim River untuk mengurus jenazahnya bersama anak-anak,” katanya.

Sementara itu, anak keenam pasangan itu, Imaduddin Md. Noor, 24, berkata, dia bersyukur kerana dapat menunaikan amanat ibunya yang mahukan salah seorang anak lelaki menjadi imam solat jenazahnya.

“Umi selalu berpesan dia menghantar kesemua anak lelakinya belajar agama kerana mahu kami mengimamkan jenazahnya kelak. Tak sangka secepat ini pemergian ibu dan walaupun sedih saya berjaya melaksanakan amanatnya hari ini,” katanya.

Kata Imaddudin, dia yang menghantar ibunya ke Stesen Bas Sungai Petani untuk menaiki bas bersama rombongan ke Muktamar Pas di Shah Alam Rabu lalu.

“Sewaktu dalam perjalanan ibu juga sering bercakap berkaitan kematian dan mati syahid yang melibatkan pejuang Palestin,” katanya.

Terdahulu solat jenazah Taibah yang tiba di Masjid As-Salam,Teluk Wang pada pukul 9 pagi diimamkan oleh Imadduddin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Wang.

Dalam kejadian pukul 2.18 petang semalam, Taibah bersama Penolong Setiausaha 1, Dewan Muslimat Pas Sungai Petani ,Nurul Najihah Amzi, 27, dan Ketua Ameerah Pas Sungai Petani, Fatihah Nabila Bukri, 23, maut dirempuh Toyota Altis. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN