PETALING JAYA: Valiant First Sdn Bhd memfailkan saman terhadap sebuah syarikat penerbangan dan pertahanan, Destini Bhd ekoran dakwaan kegagalan untuk memenuhi perjanjian jual beli membabitkan dua bidang di Glenmarie dan Bukit Jelutong, Shah Alam yang berjumlah RM24.5 juta.
Dalam dokumen diperoleh, Destini didakwa bersetuju untuk menjual kedua-dua tanah kepada Valiant First dengan perjanjian jual beli (SPA) dimeterai di samping menerima deposit.
Sebaliknya Destini itu menamatkan SPA itu.
Oleh demikian, Valiant First dalam writ saman menuntut satu deklarasi bahawa penamatan SPA itu tidak sah di samping penjanjian tersebut masih wujud dan mengikat antara kedua-dua pihak.
Selain itu, Valiant First selaku plaintif memohon satu perintah bagi pelaksanaan spesifik terhadap defendan untuk menyelesaikan penjualan di bawah SPA.
Notis saman dikemukakan oleh peguam Aravind Ramakrishnan dari firma guaman Messrs A R Krishnan & Partners yang mewakili Valiant First di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 Oktober lalu dan tarikh 8 November ini ditetapkan untuk pengurusan kes.
Sebelum ini, Valiant First yang merupakan syarikat pelaburan melakukan transaksi deposit untuk pembelian kedua-dua tanah itu kepada Destini.
Sebaliknya peguam Destini memaklumkan kepada peguam Valiant First dan menyatakan bahawa pihaknya tidak dapat menyelesaikan penjualan plot tanah kerana tidak dapat memenuhi syarat, oleh itu SPA ditamatkan. Namun syaratnya bagaimanapun tidak dinyatakan dalam surat itu. -UTUSAN










