Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka berkuat kuasa 23 September lalu menandakan gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ke-16 dibuka secara rasminya. Menjelang pilihan raya yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari, rakyat Melaka sekali lagi akan menentukan sama ada mahu mengekalkan pentadbiran Barisan Nasional (BN) atau memberikan mandat kepada gabungan politik yang baru.
Sejarah politik Melaka pernah mencatatkan peralihan kuasa buat kali pertama sejak merdeka pada PRU14 tahun 2018 apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi 15 daripada 28 kerusi DUN dan mengambil alih pentadbiran negeri daripada BN yang memperoleh 13 kerusi.
Justeru, PRN ini adalah medan ujian penting terhadap tahap kesiapsiagaan parti, kekuatan jentera akar umbi, keupayaan membina kerjasama politik serta kebijaksanaan membaca denyut nadi pengundi.
Menjelang PRN Melaka kali ini, BN akan memasuki gelanggang pilihan raya dengan kelebihan besar sebagai kerajaan negeri.
Kemenangan besar 21 daripada 28 kerusi dalam PRN 2021 menyediakan BN asas jaringan organisasi yang kukuh di pelbagai peringkat akar umbi. Penguasaan jentera amat penting untuk memastikan gerak kerja tersusun dari rumah ke rumah, pengenalpastian pengundi dan keupayaan memastikan penyokong keluar mengundi.
Selain itu, BN boleh ‘memasarkan’ rekod cemerlang pentadbiran sebagai kerajaan negeri tidak boleh terlalu merayakan kejayaan itu secara berlebihan dan wajib mengambil iktibar peristiwa yang berlaku kepada Kerajaan PH di Negeri Sembilan yang tumbang meskipun ‘mempromosi’ prestasi kerajaan negeri secara besar-besaran.
Bagi PH, gabungan ini sedang berdepan cabaran untuk memulihkan keyakinan penyokong tradisi terutamanya pengundi di bandar, bukan Melayu dan kelompok profesional muda. PH masih mempunyai kekuatan dari segi naratif reformasi, tadbir urus, keadilan sosial dan keterbukaan tetapi naratif tersebut semakin sukar meyakinkan pengundi apabila kepimpinan gabungan dilihat tidak lagi selari dengan agenda asal perjuangannya.
Justeru gabungan ini sekali lagi berdepan berisiko kemerosotan sokongan seperti mana yang berlaku dalam PRN di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan jika reformasi drastik tidak diilaksanakan segera.
Perikatan Nasional (PN) pula kini berdepan dengan keadaan lebih rumit apabila gabungan ini sedang digantung sementara waktu dan berpotensi dibatalkan pendaftarannya akibat krisis dalaman yang meruncing sebelum ini.
Parti seperti Pas, Bersatu dan Gerakan perlu segera bersiap sedia mengenalpasti lambang alternatif, calon kompeten serta hala tuju kerjasama yang jelas agar tidak mengelirukan pengundi. Secara asasnya, kekuatan PN terletak pada keupayaannya menarik sebahagian pengundi Melayu yang mencari alternatif selain BN dan PH.
Namun, sokongan itu hanya berjaya dikembalikan jika parti komponennya mencapai kesepakatan, mengelakkan pertindihan calon dan menyelaraskan semula jentera antara satu sama lain. Oleh itu, isu kerjasama politik akan menjadi antara tema utama PRN Melaka iaitu sama ada model persefahaman BN-PN diteruskan atau PH meneroka hubungan politik dengan parti-parti baru atau pertandingan semua parti memutuskan untuk bertanding secara solo.
Bagi memastikan potensi kemenangan semakin tinggi, parti-parti politik tidak boleh menjadikan rundingan kerusi sebagai pembahagian kuasa semata-mata tetapi perlu mengambil kira kekuatan setempat, rekod calon, komposisi pengundi dan penerimaan akar umbi. Parti yang gagal menguruskan rundingan bakal berdepan risiko sabotaj senyap, jentera yang lemah dan kegagalan peralihan sokongan pada hari pengundian.
Selain itu, isu-isu lain berkait rapat dengan realiti kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, harga makanan, peluang pekerjaan belia, pendapatan peniaga kecil sektor pelancongan, perumahan mampu milik dan kesesakan lalu lintas perlu dijawab dengan dasar jelas.
Pengundi hari ini semakin kritikal terhadap setiap janji yang dikemukakan oleh ahli-ahli politik, malah mereka mahu mengetahui jadual pelaksanaan, sumber kewangan dan siapa yang akan bertanggungjawab jika janji tidak ditunaikan.
Pada masa sama parti politik perlu lebih berhati-hati memanipulasi polemik nasional dalam kempen pilihan raya dan perlu memastikan isu tempatan tidak boleh tenggelam dalam pertarungan elit politik.
Justeru, kempen yang berkesan dalam PRN Melaka kali ini perlu menghubungkan persoalan nasional dengan penyelesaian di peringkat negeri dan kawasan.
Akhirnya, siapa yang bakal mendahului pertarungan pilihan raya bukan sekadar bergantung kepada jumlah bendera, kehadiran di media sosial atau kemeriahan ceramah. Parti yang benar-benar berada di hadapan adalah yang paling jelas menawarkan hala tuju, calon yang diyakini, jentera paling tersusun dan mampu meyakinkan pengundi bahawa undi mereka akan menghasilkan kerajaan yang stabil serta berkesan.
Awas, rakyat tidak lagi mudah dipujuk oleh slogan dan retorik politik tetapi mereka akan menilai prestasi, kesungguhan dan keikhlasan pemimpin yang dicalonkan.
Dr. Mohammad Tawfik Yaakub ialah Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Universiti Malaya (UM).











