Susun kaedah subsidi elak pembatalan kawalan harga ayam, telur beban rakyat - Utusan Malaysia

Susun kaedah subsidi elak pembatalan kawalan harga ayam, telur beban rakyat

FAHMI ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Pusat diharapkan dapat menyusun kaedah subsidi yang paling efektif supaya pembatalan harga kawalan ayam dan telur tidak membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, ia juga untuk memastikan subsidi kerajaan tepat disampaikan kepada golongan yang memerlukan.

”Kerajaan telah membuat keputusan untuk mengekalkan subsidi ayam dan telur tetapi kawalan harga untuk kedua-duanya akan dibatalkan.

”Langkah ini penting untuk tidak merugikan penternak seterusnya membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas agar keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran terjamin.

”Pada masa sama, saya berharap kerajaan menyusun kaedah subsidi yang paling efektif dalam masa terdekat supaya pembatalan harga kawalan ayam dan telur tidak membebankan golongan B40 kerana kedua-dua ayam dan telur merupakan sumber protein paling murah untuk mereka,” katanya di sini hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kawalan harga sementara bagi telur dan ayam yang ditetapkan sebelum ini akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan tersebut di pasaran.

Menurut Fahmi, menerusi pembentangan Belajawan 2024 itu, selain memastikan keterjaminan makanan untuk rakyat, kerajaan juga menunjukkan komitmen dalam memperkasakan agenda kebajikan golongan pesawah dan nelayan.

”Peruntukan bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan telah meningkat RM600 juta ke jumlah RM2.6 bilion.

“Sehubungan itu, pengumuman harga lantai belian padi yang naik daripada RM1,200 kepada RM1,300 per metrik tan pasti dapat membantu meningkatkan pendapatan pesawah,” katanya.

Tambah beliau, bagi golongan nelayan, selain mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah dan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan, kerajaan juga mengutamakan kebajikan nelayan dengan menyediakan RM10 juta untuk tujuan membina baharu dan baik pulih rumah nelayan.

Dalam pada itu, katanya, pembangunan sektor agro makanan yang mampan dan terjamin amat bergantung kepada kemajuan agenda pemodenan pertanian.

”Oleh yang demikian, saya menyambut baik pengumuman RM400 juta untuk melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan yang mana RM150 juta untuk kerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimum penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman.

”Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap untuk mendapat manfaat daripada program ini bagi mentransformasi aktiviti pertanian dalam negeri ke arah pertanian pintar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya