Sultan Mizan, Sultanah Nur Zahirah lancar buku 'UMT Dua Dekad Meneroka Samudera'  - Utusan Malaysia

Sultan Mizan, Sultanah Nur Zahirah lancar buku ‘UMT Dua Dekad Meneroka Samudera’ 

MAZLAN Abdul Ghafar (kanan) memberi penerangan mengenai pameran 'UMT Dua Dekad Meneroka Samudera' kepada Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Sultan dan Sultanah Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Nur Zahirah hari ini berkenan mencemar duli berangkat ke Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyempurnakan pelancaran buku ‘UMT Dua Dekad Meneroka Samudera’. 

Baginda berdua turut berkenan melawat pameran buku sejarah UMT yang diadakan pada majlis santapan petang sempena Majlis Konvokesyen UMT Kali Ke-21 di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam di sini.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar.

Pameran itu bertujuan memberikan pendedahan maklumat dan berkongsi sejarah asas penubuhan UMT yang bermula dengan penubuhan stesen perikanan dan sains samudera pada tahun 1979 sehingga tertubuhnya UMT pada 1 Februari 2007.

Turut dipamerkan ialah plak perasmian pusat perikanan dan sains samudera yang telah disempurnakan oleh Almarhum Sultan Terengganu ketika itu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Ibni Al-Marhum Ismail Nasiruddin Shah pada 18 Mac 1981.

Buku Sejarah UMT itu mengandungi enam bab utama meliputi lembaran sejarah awal penubuhan, perkembangan program pengajian, program penyelidikan, segmen pemindahan ilmu, alumni tersohor UMT dan kegemilangan serta keunikan universiti setelah 20 tahun berdiri gah menjadikan UMT sebagai sebuah universiti berdaya saing yang setanding dengan universiti awam terkemuka di Malaysia.

Dalam majlis yang sama, Sultan Mizan dan Sultanah Nur Zahirah turut menyaksikan majlis penyampaian zakat berjumlah RM2,020,586.41 kepada Tabung Zakat Pelajar UMT. 

Antara penyumbang zakat tersebut adalah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Lembaga Tabung Haji, AmBank Islamic Berhad (Ambank), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Sementara itu, Mazlan berkata, semua sumbangan yang disampaikan itu diagihkan dalam pelbagai bentuk seperti dana zakat, bantuan pendidikan dan juga geran projek untuk mendokong keperluan pendidikan dan pembangunan asnaf di UMT. 

“UMT sentiasa mengorak langkah proaktif untuk meningkatkan dana Tabung Zakat Pelajar bagi memastikan kesejahteraan kewangan pelajar UMT terutama golongan asnaf sentiasa dalam keadaan baik,” ujarnya.

Seramai 2,388 graduan UMT yang terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah dan 2,192 graduan prasiswazah akan diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam majlis konvokesyen UMT Kali Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula esok hingga 24 Oktober ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya