Sultan Ibrahim Yang di-Pertuan Agong Ke-17

Sultan Ibrahim Yang di-Pertuan Agong Ke-17

Sultan Ibrahim
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17. – BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-17 selama tempoh lima tahun mulai 31 Januari 2024.

Sultan Ibrahim akan menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Januari tahun depan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, pemilihan Sultan Ibrahim itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Raja-raja Ke-263 yang diadakan di lstana Negara, semalam.

“Majlis Raja-raja juga bersetuju mengisytiharkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024,” katanya dalam kenyataan.

Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru dan merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah.

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.

Menurut Syed Danial, keputusan Majlis Raja-raja itu dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.

Katanya, perkara itu berdasarkan Perenggan 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga telah dimaklumkan,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Khas semalam dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan dihadiri oleh semua raja-raja kecuali Raja Perlis dan Sultan Kelantan.

Selain Sultan Ibrahim, Al-Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin, antara Raja-Raja Melayu yang turut sama berangkat ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Seterusnya, Yang Dipertuan Besar, Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Majlis Raja-Raja sebelum ini bermesyuarat selama dua hari pada Rabu dan Khamis lalu antaranya membincangkan beberapa perkara yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan dan perkara-perkara yang melibatkan agama Islam.

Dalam pada itu, Royal Press Office (RPO) dalam satu kenyataan memberitahu, Sultan Ibrahim mendapat pendidikan di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam; Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1); Trinity Grammar School, Sydney, Australia dan di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) selain pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek.

Sultan Ibrahim juga pernah melanjutkan pengajian di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat di mana baginda melengkapkan dua kursus iaitu ‘Southeast Asian Strategic Studies’ dan ‘International Law of the Seas’.

Menurut RPO, kepimpinan baginda terserlah selepas melibatkan diri dalam aktiviti ketenteraan yang turut dijadikan asas bagi membina semangat juang, disiplin serta perwatakan yang berwibawa.

“Baginda mula menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada) di Kota Tinggi dan dilantik sebagai platun komander sebelum mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat, selain menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri,” jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, Sultan Ibrahim kemudian dipilih dan ditauliahkan sayap seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai komando selain baginda turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).

“Baginda juga melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia.

“Sultan Ibrahim turut menjalani latihan juruterbang helikopter bersama Tentera Udara Diraja Malaysia dan dikurniakan serta menerima sayap pada 26 April 1982 daripada Almarhum Sultan Iskandar.

“Selain itu, baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak sekali gus melengkapkan baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang berkemahiran,” kata kenyataan itu.

Jelas RPO, Sultan Ibrahim juga pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di pelbagai jabatan bagi mempelajari aspek-aspek pengurusan serta pentadbiran negeri.

“Baginda dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981 kemudian mendirikan rumah tangga bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada 22 September 1982 dan dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri,” tambah RPO. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN