PETALING JAYA: Pengacara, Jihan Muse, memohon maaf kerana menjadikan penyanyi, Azmi Saat yang cacat penglihatan sebagai bahan jenaka ketika mengendalikan program All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Ahad lalu.
Kesal dengan perbuatan tersebut, Jihan mengakui sudah menghubungi dan memohon maaf secara peribadi kepada Azmi pada Isnin.
“Saya tidak berniat untuk mempermainkan nama dan menghina seperti yang diperkatakan. Namun saya akui itu adalah kesilapan daripada saya sendiri kerana tidak peka dan sensitif.
“Begitu juga dengan gurauan yang tidak bersesuaian yang telah dibuat. Itu tidak patut berlaku pada sesiapa pun,” katanya seperti yang dimuat naik menerusi Instagram peribadi.
Pengacara itu turut berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama di samping lebih peka dalam mengendalikan program secara lebih profesional.
“Bagaimanapun ini adalah pengajaran buat saya untuk lebih peka dan berhati-hati. Saya terima segala teguran.
“Segala yang buruk daripada kekhilafan saya sendiri. Diharap perkara seperti ini tidak berulang lagi baik daripada saya atau sesiapa saja. Ia bukan perkara yang boleh dianggap biasa.
“Semoga kami dapat menyusun skrip dengan lebih baik selepas ini. Teruskan menonton dan menyokong ASGV,” jelasnya.
Sebelum ini semasa konsert pada Ahad, Jihan menjemput Azmi tampil ke pentas sebagai rakan duet bersama Azharina dan bertanya adakah penyanyi itu datang ke konsert dengan memandu.
Bukan itu sahaja, dia dan Nabil Ahmad turut mempersendakan nama bapa penyanyi itu dengan bertanya berapa ‘saat’ yang diperlukan untuk satu minit.
Jenaka itu dianggap tidak sensitif dan mendapat kritikan hebat daripada warganet.