Serbuan bongkar kegiatan judi dalam talian di 13 premis perniagaan - Utusan Malaysia

Serbuan bongkar kegiatan judi dalam talian di 13 premis perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Serbuan polis di 13 buah premis di sekitar Ipoh hari ini, berjaya membongkar kegiatan perjudian dalam talian yang berselindung di sebalik perniagaan alat komunikasi dan kedai runcit.

Malah, pemeriksaan menerusi Op Dadu itu juga mendapati, ada dalam kalangan premis tersebut pernah diserbu sebelum ini dan diambil tindakan.

Dalam operasi bermula pukul 10 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu, kesemua premis dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh TNB.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, tindakan pengusaha premis menjalankan operasi di sebalik perniagaan yang sah itu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, pihak polis tidak berdiam diri dengan melakukan risikan sehingga tindakan diambil di bawah Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga mahupun orang perseorangan sekiranya didapati masih menjalankan aktiviti seumpama ini.

“Pihak IPD Ipoh amat memandang serius kegiatan judi haram ini dan kita yakin masyarakat sendiri tidak gemar dengan perbuatan tersebut. Oleh itu, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di sekitar Ipoh di sini hari ini.

Mengulas lanjut Yahaya berkata, sejak dua minggu lalu sehingga hari ini, sebanyak 23 buah premis dikenakan tindakan pemotongan elektrik oleh TNB.

Katanya, setakat ini hanya satu tangkapan melibatkan lelaki berusia 21 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis perniagaan runcit.

“Premis yang diserbu ini dipercayai didalangi ejen atau sindiket berbeza berdasarkan jenis ‘game’ (permainan) menerusi aplikasi judi yang ditawarkan.

“Ejen atau sindiket game yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini berbeza-beza. Ada yang menawarkan tambah nilai untuk bermain judi online tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN