Selesaikan segera isu menara tekekomunikasi tidak berfungsi

Selesaikan isu 30 menara telekomunikasi tidak berfungsi di Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NABAWAN: Walaupun terdapat lebih 30 menara telekomunikasi di Pensiangan dan Pagalungan, namun tidak semua berfungsi untuk kegunaan penduduk.

Malah, ada sebahagian penduduk bergantung kepada walkie-talkie untuk berhubung antara satu sama lain kerana masalah liputan telekomunikasi dan internet di kampung mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, liputan telekomunikasi dan internet di beberapa kawasan yang berada di pedalaman Sabah itu seperti Pensia­ngan dan Pagalungan memang bermasalah.

“Ketika ini ada lebih 30 menara telekomunikasi yang telah dipasang sejak 2018 tapi malangnya ada sebahagian menara tidak berfungsi sepenuhnya. Ada juga menara yang berhadapan kecurian bateri hingga menyebabkan menara tidak dapat digunakan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau akan membangkitkan isu berkaitan menara telekomunikasi ini agar tindakan dapat diambil bagi memastikan penduduk Pensiangan dan Pagalu­ngan dapat menikmati kemudahan telekomunikasi yang baik.

Memandangkan kawasan-kawasan itu berada jauh di pedalaman Sabah maka, liputan telekomunikasi amat penting sebagai alat perhubungan mereka dengan dunia luar terutama apabila berlaku kes-kes kecemasan.

Menyentuh tentang pembangunan di Nabawan, Abdul Ghani berkata, pada masa ini daerah itu sedang dalam proses menghasilkan udang kara air tawar untuk produk menjana ekonomi masyarakat setempat.

Beliau berkata, kawasan penternakan akuakultur itu akan dibangunkan di kawasan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB).

“Kita akan bimbing penduduk setempat untuk terlibat dalam penternakan udang kara air tawar ini. Kita melihat ternakan lobster ini mempunyai potensi pasaran yang luas di Sabah dan jika ia boleh dibangunkan sebagai

sebuah produk maka, ekonomi penduduk setempat dapat ditingkatkan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN