Sekolah anjur program pamer senjata replika di luar Minggu Solidariti Palestin  - Utusan Malaysia

Sekolah anjur program pamer senjata replika di luar Minggu Solidariti Palestin 

fadfhlina
FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) memberitahu program melibatkan replika senjata mainan di sebuah sekolah yang sedang tular tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan. 

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program tersebut juga tidak termasuk dalam pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin yang dijadual bermula esok, 29 Oktober hingga 3 November ini.

“Ingin saya tegaskan Minggu Solidariti Palestin bertujuan mendidik murid-murid dengan nilai kemanusiaan, merangkumi hak asasi manusia, keamanan, keharmonian dan kedamaian sejagat.

“KPM tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme, radikalisme dan keganasan, apatah lagi dengan penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi yang tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam satu video di laman Facebooknya semalam.

Terdahulu, Pertubuhan Global Human Rights Federation (GHRF) mengecam gambar kanak-kanak yang memegang senjata mainan, didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Presidennya, S. Shashi Kumar menyifatkannya sebagai ‘mengejutkan dan menakutkan’ dan menggesa kerajaan supaya  menghentikan segera program itu.

Pihaknya juga berkongsi beberapa tangkap layar hantaran media sosial yang dibuat seorang guru perempuan, yang didakwanya berkhidmat di sebuah sekolah di Klang, Selangor.

Gambar itu menunjukkan murid sekolah memegang senapang dan mesingan mainan, sambil mengenakan selendang kufia dan ikat kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

DAP hari ini menggesa KPM mengambil tindakan tatatertib terhadap penganjur yang mempamerkan unsur kekerasan dan bersenjata di sekolah yang didakwa terlibat dalam Minggu Solidariti Palestin.

Baru-baru ini, KPM dilaporkan akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November ini bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan, dalam kalangan pelajar.

Selain sekolah, arahan itu juga melibatkan kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

Beberapa wakil rakyat telah menyuarakan bantahan dengan antaranya berkata sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran dan pemahaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN