Saya tak pernah cakap mereka sampah, saya pun ada akal - Usop kesal kenyataan diputar belit - Utusan Malaysia

Saya tak pernah cakap mereka sampah, saya pun ada akal – Usop kesal kenyataan diputar belit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyanyi, Usop menempelak segelintir warganet yang memutar belit kenyataannya sehingga ada yang menganggap dia kurang senang dengan kehadiran pempengaruh dalam dunia seni suara.

Jelas Usop, apa yang dimaksudkan sebelum ini adalah golongan pempengaruh yang tidak mempunyai bakat dalam menyanyi namun masih berani mengeluarkan lagu atas dasar populariti semata.

Katanya, dia tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pempengaruh yang mempunyai bakat nyanyian apatah lagi menganggap kehadiran mereka dalam industri seni suara sebagai menjahanamkan.

“Wahai netizen di luar sana, apa yang saya maksudkan sebelum ini adalah golongan yang tidak boleh menyanyi. Saya ini pun ada akal. Bukan cakap sesuka hati tanpa berfikir.

“Mereka yang tak boleh menyanyi itulah yang menjahanamkan industri seni. Orang luar menilai kita. Biarlah ada bakat dan kualitinya.

“Saya ini rupa tak ada, tetapi bakat itu Allah beri pinjam. Jika anda diberi ruang dan peluang, gunakan sebaiknya. Ramai yang mengimpikan kedudukan anda sekarang,” ujarnya.

Juara Mentor Milenia 2017 itu sebelum ini meluahkan kekecewaan apabila ada segelintir pempengaruh yang menyalahguna peluang dan hanya mengejar populariti semata berbanding mereka yang bersusah payah membuktikan bakat menerusi pelbagai pertandingan realiti.

Kenyataan tersebut diguna pakai di ruangan komen oleh segelintir netizen selepas persembahan pereka kandungan, Ryan dan Adam Bakery di pentas minggu kedua Famili Duo 2 mendapat kritikan juri tetap, Ajai.

Hadir ke minggu ketiga program realiti itu semalam, Usop ketika ditanya pendapatnya selepas melihat persembahan Ryan dan Adam berkata, pasangan adik beradik itu memberikan persembahan yang baik namun boleh diperbaiki lagi.

“Program realiti ini, dia ada ‘game’ dia sendiri. Esok kita menang, minggu depan belum tentu. Ada masa orang sanjung kita, tiba satu ketika ini, orang kritik bertubi-tubi. Lumrah hidup kan.

“Ryan dan Adam boleh buat lebih baik lagi. Buktikan kemampuan dan niat untuk menjadi penghibur. Dari segi suara itu, mereka boleh menyanyi. Sedap atau tidak, itu subjektif. Telinga masing-masing.

“Saya tak ada sindir pempengaruh yang boleh menyanyi. Tetapi mereka yang ‘menyanyi’ sampai bingit telinga itu, tak perlu teruskan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN