SHAH ALAM: Tidak hanya meledak pada tahun 2001, jodoh kedua-dua vokalis kumpulan Boboy dan New Boyz juga kuat apabila kembali dipertemukan di pentas All Stars Gegar Vaganza (ASGV).
Mengimbau kembali zaman kegemilangan itu, Naqiu tidak menolak kedua-dua kumpulan itu berjaya menyita perhatian umum sehingga jika ada tawaran persembahan, pasti mereka akan diundang serentak.
“Kumpulan Boboy tidak akan wujud jika New Boyz tidak cetuskan fenomena terlebih dahulu. Nama New Boyz meledak sehingga ada permintaan untuk wujudkan satu lagi band iaitu Boboy.
“Dulu kalau band saya dipanggil buat persembahan, New Boyz pun akan dipanggil juga. Nama band pun lebih kurang ada ‘boy’, gaya rambut pun sama belah tengah.
“Bila saya dan Tomok ada projek solo, orang akan turut membandingkan kami. Semestinya kami faham mengapa itu terjadi,” ceritanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Ketika bertemu di belakang pentas ASGV, masing-masing tersenyum dan sudah menjangkakan pasti akan ada pihak yang membandingkan mereka dan terimbau kenangan lama zaman kumpulan mereka mula mendaki tangga populariti dahulu.
“Saya baru tahu minggu lalu Tomok ada di Hot Seat. Di belakang pentas kami sudah jangka pasti orang akan bercakap kembali zaman 2001, 2002 dahulu dan ada perbandingan akan timbul.
“Bagi saya, Tomok ialah penyanyi yang bagus dan dia senior di dalam industri. Jangan bandingkan kami kerana jika tiada Tomok, saya pun tiada di sini,” tambahnya lagi.
Meneruskan perjuangan di pentas ASGV, Naqiu bakal membawakan lagu ‘Santai’ oleh Faizal Tahir untuk minggu ketiga Ahad ini.
Mengakui merupakan peminat Faizal, Naqu bagaimanapun akan membawakan persembahan dengan sentuhan yang tersendiri.
“Saya salah seorang peminat Faizal Tahir. Kalau saya bawakan lagunya yang lama-lama, tak ada beza dengan persembahan saya sebelum ini. Jadi untuk lagu Santai, saya pentingkan treadmark.
“Saya cuba seimbangkan agar tidak dilihat keterlaluan. Saya juga tidak akan buat persembahan biasa-biasa kerana penganjur bayar saya untuk buat persembahan dan peminat keluarkan duit berikan sokongan,” katanya.