TUARAN: Pengoperasian sebuah lagi rumah perantaraan Jabatan Penjara di Sabah akan membantu usaha mengurangkan kadar residivis atau jenayah berulang dalam kalangan bekas banduan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rumah perantaraan yang diwujudkan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu penting dalam memastikan bekas banduan mempunyai tempat tinggal selepas dibebaskan secara pelepasan parol atau pelepasan banduan secara berlesen (PBSL).
Beliau berkata, peranan rumah perantaraan itu sangat membantu untuk mengurangkan kadar residivis dalam kalangan bekas banduan untuk mengulangi kesalahan yang sama.
“Berdasarkan data semasa, peratusan yang terjebak dan kembali semula ke penjara, bagi setiap 800 banduan dibebaskan, hanya seorang kembali ke penjara.
“Ini bermaksud, setiap 800 yang dibebaskan mengikut pelepasan banduan secara berlesen atau parol yang ditempatkan di rumah perantaraaan ini, peratusan yang mengulangi itu sangat kecil.
“Berbeza dengan penghuni penjara yang tidak melalui rumah perantaraan semasa dibebaskan, kadar residivis mereka adalah 18.6 peratus, kadar ini tinggi,” katanya semasa selepas merasmikan Rumah Perantaraan Jabatan Penjara Sabah di Kampung Panjut Berungis, hari ini.
Rumah perantaraan yang mula beroperasi hari ini disumbangkan oleh Yayasan Kebajikan Suria yang diterajui oleh Datuk Raya Erom.
Menurut Saifuddin, setakat ini 14 rumah perantaraan telah diwujudkan di seluruh negara dan dua daripadanya di Sabah iaitu di Tuaran dan Kepayan.
Katanya, rumah perantaraan bukan sekadar menyediakan tempat tinggal kepada bekas banduan yang dibebaskan malah, ia turut diisi dengan pelbagai program bagi meningkatkan kemahiran dan menjaga keperibadian mereka seperti yang dilalui dalam penjara dahulu.
Rumah perantaraan ini penting kerana ia menunjukkan pihak berkepentingan dalam masyarakat dan badan-badan kebajikan boleh mengambil bahagian untuk bersama-sama dengan Jabatan Penjara.
Jelas belia, penglibatan badan-badan kebajikan dan NGO akan membantu mengurangkan bebanan pembiayaan kerajaan.- UTUSAN










