SIBU: Sebanyak 23 buah sekolah bantuan kerajaan di Sarawak memanfaatkan dana peruntukan berjumlah RM2.3 juta dari Kementerian Pendidikan (KPM).
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying mendedahkan, dana peruntukan tersebut adalah bertujuan bagi kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaran fasiliti di sekolah-sekolah yang memerlukan.
“Saya melakukan lawatan ke 17 buah sekolah di Sarawak pada kali ini dan menyalurkan peruntukan kepada 23 buah sekolah. Ada sesetengah daripada sekolah kita jemput ke sekolah lain untuk menerima dana peruntukan ini.
“Tujuan dana yang diagihkan adalah untuk penyelenggaraan fasiliti di sekolah dan juga dana bagi baik pulih tandas yang dalam keadaan rosak,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Elizabeth di sini hari ini.
Hui Ying mendedahkan, lawatan kerjanya itu dilakukan sejak 24 September lalu sehingga 3 Oktober iaitu selama 10 hari melibatkan 17 buah sekolah di Sarawak.
Sementara itu, Hui Ying berkata, SMK St Elizabeth merupakan sekolah terakhir yang mereka lawati di Sarawak.
“Di Sibu hari ini, jumlah yang diberikan termasuk dengan peruntukan sekolah bantuan kerajaan dengan peruntukan tambahan.
“Jadi, jumlah yang KPM salurkan kepada sekolah di SMK Elizabeth adalah sebanyak RM110,000, SJKC Tiong Hin (RM100,000) dan SJKC Thai Kwang sebanyak RM100,000. Jadi, jumlah peruntukan keseluruhan di Sibu adalah sebanyak RM310,000,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar pihak sekolah menggunakan sepenuhnya dana yang diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui KPM.
“KPM komited mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia yang memberi pendidikan berkualiti, beretika, adil dan holistik kepada anak-anak kita supaya mereka dapat membesar dan menjadi insan yang berilmu dan berguna kepada bangsa dan negara.
“Justeru, melalui lawatan turun padang seperti ini, banyak maklumat, input dan cadangan yang dapat diperoleh daripada pihak pentadbir sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang boleh dijadikan rujukan dalam perancangan seterusnya di peringkat kementerian,” katanya. -UTUSAN