Risiko bencana: Jabatan Hutan pantau taman eko rimba

Risiko bencana: Jabatan Hutan pantau taman eko rimba

TAMAN Eko Rimba Ulu Bendul, Kuala Pilah di Negeri Sembilan adalah antara kawasan popular kunjungan orang ramai namun salah satu lokasi sering berlakunya kejadian kepala air. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan memantau keadaan cuaca semasa untuk mengambil langkah-langkah awal menghadapi risiko berlakunya kejadian tanah runtuh atau kepala air khususnya di kawasan taman negeri dan taman-taman eko rimba di negeri ini.

Pengarah Perhutanan negeri, Hamidi Abd. Halim berkata, pihaknya mengambil perhatian sebarang risiko yang boleh berlaku menjelang tempoh berlakunya Monsun Timur Laut termasuk sentiasa mendapatkan maklumat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.

“Jika dilihat maklumat dari MetMalaysia, di Negeri Sembilan risikonya masih rendah, bagaimanapun kami sentiasa memantau.

“Kebiasaannya bagi langkah berjaga-jaga, kami menutup taman-taman eko rimba, taman negeri dan trek pendakian namun setakat ini ia masih dibuka dan jika tutup kami akan memaklumkan.

“Pegawai-pegawai hutan juga akan sentiasa berada di lokasi yang telah dikenal pasti bagi memberi peringatan kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Akhbar ini semalam melaporkan sebanyak 104 lokasi cerun di seluruh negara dikenal pasti sangat kritikal untuk berlaku tanah runtuh dan aliran puing terutama menjelang tempoh Monsun Timur Laut bulan depan.

Menerusi laporan itu, Jabatan Mineral dan Geosains memaklumkan sedang menjalankan pemetaan di tujuh lokasi taman eko rimba yang berpotensi berlakunya bencana aliran puing atau pergerakan tanah termasuk di Jeram Toi, Jelebu, Negeri Sembilan.

Sementara itu Hamidi berkata, Taman Eko Rimba Jeram Toi kini masih lagi dalam proses kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula selepas ia musnah susulan kejadian hujan lebat berterusan dan banjir besar yang berlaku pada pertengahan Disember 2021.

“Jeram Toi masih lagi dalam pembaikan dan dijangka siap pada awal tahun depan dan ia bergantung kepada risiko kejadian tanah runtuh di sekitar kawasan itu hasil laporan Jabatan Mineral dan Geosains,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×