LUMUT: Sampel tulang dua rangka manusia dan cebisan kain yang ditemukan atas bumbung bangunan rumah kedai di Sitiawan, Isnin lalu dihantar ke jabatan kimia untuk dianalisis.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, ia bagi mengenal pasti identiti mangsa.
“Polis masih menyiasat punca kematian dua mangsa itu dan kami menjangkakan ia mengambil masa antara tiga hingga empat hari untuk proses analisis tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, setakat ini belum ada petunjuk baharu terhadap kes tersebut, namun ada beberapa waris berkaitan orang hilang ada tampil untuk membantu siasatan.
Beliau juga meminta orang ramai yang ada kes kehilangan ahli keluarga supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Sebelum ini media melaporkan peniaga dan orang ramai di Jalan Kelab, Sitiawan, dekat sini, gempar apabila dua tengkorak dan tulang manusia dipercayai mangsa bunuh, ditemukan di atas bumbung sebuah rumah kedai di situ.
Mohamed Nordin berkata, dua tengkorak tersebut berada dalam dua beg plastik manakala tulang dipercayai manusia di atas bumbung rumah kedai yang bersebelahan cawangan sebuah bank tempatan.
Rangka manusia itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat dan kes tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang sabit kesalahan dihukum gantung sampai mati.-UTUSAN











