SHAH ALAM: Selangor memerlukan dasar komprehensif dalam ekonomi penjagaan yang melibatkan warga emas dan kanak-kanak untuk memastikan produktiviti negeri ini tidak terganggu dengan kadar kelahiran yang rendah.
Ini kerana, negeri ini berdepan dengan kadar penduduk dengan jangka hayat yang lebih tinggi iaitu 78.1 tahun berbanding berbanding nasional 74.8 dan hal itu menyebabkan kemunculan sektor ekonomi penjagaan tidak formal.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tuntutan terhadap ekonomi tersebut wujud yang mana keperluan penjagaan kepada warga emas, bayi atau kanak-kanak dan orang kurang upaya memerlukan sokongan dari sudut dasar dan peraturan.
Menurutnya, keperluan terhadap sektor tersebut juga menyebabkan ramai golongan wanita kerjaya kerana tidak mahu menanggung kos penjagaan terhadap orang tua dann anak kecil yang tinggi serta risiko-risiko lain.
“Secara tidak formal juga jauh lebih besar berbanding pusat jagaan formal. Begitu juga selepas ini dengan warga emas dan sebagainya kerana apa yang saya sebutkan tadi apabila berlaku situasi yang tidak mempunyai sokongan-sokongan yang disebutkan tadi, maknanya wanita terpaksa mengambil separuh jalan daripada ekonomi kehidupan mereka.
“Ekonomi yang mungkin membolehkan mereka menjadi akademia misalnya dan pelbagai bidang lain sebagai contoh, akan tersekat apabila mereka memilih keluarga atau menjaga anak-anak selepas tidak sanggup membayar kos yang tinggi atau rasa bimbang terhadap keselamatan anak-anak dan juga kualiti terhadap penjagaan orang tua,” katanya dalam ucapan perasmian Simposium Ekonomi Penjagaan Selangor 2023, hari ini.
Beliau menambah, keperluan terhadap penjagaan warga emas wujud selepas kadar kelahiran di negeri ini rendah iaitu 1.9 pada 2018.
Dalam pada itu, Amirudin menjelaskan keperluan terhadap galakan kepada kelahiran untuk memastikan generasi yang baharu dapat menggalas tugas memakmurkan ekonomi negeri pada masa akan datang.
“Tradisinya dari tahun 1790 (global) memang keterlibatan wanita dalam ekonomi sudah wujud, mungkin pada tahun tersebut anak-anak dengan jarak pandang kita dari ladang atau kebun di persekitaran, tetapi hari ini tak boleh kita kena adaptasi.
“Jepun dalam tempoh setahun atau dua tahun lalu mengeluarkan insentif, kita baru buat satu, tetapi Jepun mengeluarkan insentif penjagaan terhadap anak (kelahiran) kerana mereka tidak mahu ada anak kerana memerlukan kos yang tinggi.
“Kerana itu, untuk menambah populasi, bagi mereka yang mendapat anak Kerajaan Jepun mengeluarkan peruntukan kira-kira RM1,000 sebulan, kita RM1,000 setahun untuk galakkan ada anak. – UTUSAN