Pulau Pinang terima sijil bersih Ketua Audit Negara - Utusan Malaysia

Pulau Pinang terima sijil bersih Ketua Audit Negara

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih mengekalkan pengurusan kewangan yang berintegriti apabila menerima Sijil Bersih iaitu Sijil Pendapat Tanpa Teguran (Dengan Perenggan Hal-Hal Lain) daripada Ketua Audit Negara bagi penyata kewangan tahun 2022.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, menerusi pengiktirafan yang diterima hari ini, ia membuktikan kerajaan negeri berjaya mengekalkan pengiktirafan Sijil Bersih Ketua Audit Negara seperti tahun-tahun sebelumnya.

”Laporan Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri serta Pematuhan Jabatan/Agensi Negeri Pulau Pinang tahun 2022 yang diserahkan salinannya kepada saya oleh Pengarah Jabatan Audit Negara Negeri Pulau Pinang menunjukkan prestasi kewangan kerajaan negeri masih kukuh.

“Baki terkumpul Kumpulan Wang Disatukan pada akhir tahun semasa adalah berjumlah RM1.859 bilion berbanding RM2.117 bilion pada akhir 2021,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, pada tahun lalu, sebanyak 2,420 projek telah dirancang untuk dilaksanakan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 2,332 projek iaitu 96.4 peratus telah siap sepenuhnya.

Dalam pada itu, katanya, hutang awam kerajaan negeri yang terdiri daripada hutang kepada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembangunan menunjukkan baki berjumlah RM41.11 juta pada akhir tahun 2022 berbanding RM45.41 juta (2021) iaitu menurun sebanyak RM4.30 juta (9.5 peratus).

”Penurunan hutang berkaitan adalah disebabkan oleh tiada pinjaman baharu diambil dan pembayaran balik pinjaman telah dibuat mengikut jadual.

“Malah, saya turut dimaklumkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencatatkan rekod tiada pinjaman baharu daripada Kerajaan Persekutuan yang dibuat sejak tahun 2016,” katanya.

Tambah Kon Yeow, beliau
mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang mengucapkan penghargaan kepada Ketua Audit Negara dan Jabatan Audit Negara Negeri Pulau Pinang di atas pensijilan Ketua Audit Negara tahun 2022.

”Ribuan terima kasih diucapkan juga kepada komitmen penuh semua agensi negeri dan Persekutuan dalam merealisasikan pengiktirafan diterima.

”Kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus berusaha mencari hasil baharu dalam memantapkan lagi prestasi pembangunan negeri ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya