PTPTN komited laksana diskaun bayaran balik pinjaman - Utusan Malaysia

PTPTN komited laksana diskaun bayaran balik pinjaman

DISKAUN bayaran balik PTPTN boleh membantu meningkatkan wang yang boleh digunakan warga belia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited dalam melaksanakan pemberian insentif diskaun bayaran balik pinjaman yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan Bajet 2024 semalam.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, berdasarkan pengumuman Belanjawan yang diumumkan, pemberian insentif diskaun bayaran balik bermula 14 Oktober 2023 hingga 31 Mac 2024 dibahagikan kepada tiga kategori dengan kadar yang telah ditetapkan.

“Diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran.

“Seterusnya diskaun sebanyak 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha murni itu merupakan keprihatinan kerajaan kepada peminjam PTPTN yang bersungguh-sungguh membayar balik pinjaman walaupun dalam keadaan ekonomi yang getir di samping untuk memastikan PTPTN kekal mapan.

“Sehubungan itu, perincian berkenaan pelaksanaan insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN ini akan dimaklumkan oleh PTPTN dalam masa terdekat,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, peminjam boleh melayari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau menghubungi PTPTN melalui saluran Careline 03 – 2193 3000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat, pukul 9 pagi hingga 5 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN