BINTULU: Calon-calon daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) dianggap sukar untuk menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak, kata Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Jayum Jawan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr Jayum berkata, parti itu mempunyai beberapa kekurangan seperti sejarah, idealisme, jentera, dan kepemimpinan.
“Tetapi, calon-calon ini dalam seumpamanya seperti menghantar kambing biri-biri ke kandang penyembelihan,” jelasnya ketika dihubungi semalam.
Dr Jayum berpendapat, persaingan tiga penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBK dan ASPIRASI akan memihak kepada Parti Pesaka Bumiputera (PBB).
“Kepimpinan Presiden PBB, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang sedang memuncak dengan pelbagai inisiatif yang beliau perkenalkan mustahil untuk memecah belah dalam kalangan Melayu dan Melanau sama ada kerana undi baharu dari orang muda dan belia.
“PRK Jepak boleh dianggap sudah dimenangi PBB sebelum tarikh membuang undi. Melayu dan Melanau sekian lama menunjukkan disiplin dan penyatuan padu dalam PBB.
“Malah, sayap Bumiputera dalam PBB belum pernah kalah dalam mana-mana pilihan raya dalam kawasan majoriti Melayu, Islam dan Melanau sejak gabungan dua buah parti iaitu Pesaka dan Bumiputera pada pertengahan 1960-an,” katanya.
Justeru, Dr Jayum yakin tiada isu undi berpecah belah dalam kalangan Melayu dan Melanau sama ada kerana undi baharu dari orang muda, belia. –UTUSAN










