KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras isu pengemis warga asing di sekitar ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya mengambil maklum berkaitan isu pengemis yang didalangi warga asing di sekitar ibu negara.
“Walaupun hal ini di bawah tanggungjawab Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun kita (polis) sentiasa memantau isu pengemis melibatkan warga asing.
“Kita akan bekerjasama dengan agensi berkaitan malah tidak teragak-agak melakukan tangkapan jika berkait kes jenayah,” katanya kepada pemberita dalam Program Pembersihan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Limau, Pantai Dalam di sini hari ini yang dirasmikan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Terdahulu, Jabatan Imigresen menggempur pengemis asing di sekitar Bukit Bintang di sini pada Ahad lalu dan menahan lapan warga asing termasuk seorang wanita China yang menyamar sebagai beragama Islam dengan memakai niqab ketika mengemis.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dilaporkan berkata, kesemua yang ditahan berumur antara lapan bulan dan 78 tahun, terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita warga China, tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Pakistan, serta seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki warga Jordan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perkembangan kes rusuhan dalam urusan menunda kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi, di sini, beliau berkata, setakat ini polis menahan seramai 30 individu bagi membantu siasatan.
Katanya, tangkapan baharu melibatkan lapan suspek selain seramai 22 individu yang ditahan sebelum ini.
“Ada antara mereka masih direman. Kita masih memburu beberapa lagi suspek berkaitan kes ini.
“Saya beri amaran keras kepada mereka yang terlibat bahawa polis tidak akan bertolak ansur, kita akan cari sampai dapat, jangan cabar kita,” ujarnya.
Selasa lalu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai satu kes rusuhan menggunakan senjata melibatkan beberapa orang suspek warganegara di Kampung Malaysia Tambahan, Cheras.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati kejadian ini berpunca daripada satu kes kemalangan motokar dan pergaduhan dua pihak untuk menunda kereta tersebut.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis IPD Cheras telah membuat tangkapan ke atas lapan lelaki berumur dalam lingkungan 22 hingga 44 tahun kerana disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan.
Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.- UTUSAN