PMKS nikmati peruntukan RM44 bilion

PMKS nikmati peruntukan RM44 bilion

KERAJAAN menyedari kepentingan PMKS dengan memberi peruntukan besar.GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan RM44 bilion dalam Belanjawan 2024 iaitu nilai keseluruhan pinjaman dan jaminan pembiayaan yang tersedia untuk manfaat usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usahawan dan peniaga kecil disediakan kemudahan pinjaman kecil dengan dana keseluruhan RM2.4 bilion di bawah agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Tabung Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun Nasional).

“RM1.4 bilion di bawah pinjaman mikro BSN adalah untuk membantu menyediakan modal perniagaan, pembelian peralatan, premis serta pemasaran kepada penjaja dan pengusaha kecil-kecilan.

“RM330 juta di bawah Tekun juga adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. RM30 juta daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India.

“Daripada jumlah keseluruhan ini, sebanyak RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sejumlah RM8 bilion dana pinjaman disediakan di bawah BNM untuk menyokong syarikat PMKS.

“Daripada jumlah tersebut sebanyak RM600 juta dikhususkan untuk membantu perusahaan mikro dan usahawan berpendapatan rendah, kontraktor kecil, penerapan amalan kelestarian dan sektor berkaitan keterjaminan makanan,” katanya.

Katanya, kerajaan turut menyediakan RM600 juta di bawah Dana Impak Khazanah Nasional bagi tahun hadapan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi lebih banyak peluang kepada komuniti desa, separa bandar dan golongan kurang mendapat perkhidmatan kewangan.

“Setakat ini, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) telah menjamin lebih 100 ribu PKS merangkumi 75 peratus PKS bukan bumiputera dan 25 peratus PKS bumiputera dengan nilai keseluruhan diluluskan berjumlah lebih RM75 bilion.

“Tahun hadapan, SJPP akan menjamin sehingga 80 peratus pinjaman usahawan PKS khususnya yang terlibat dalam bidang ekonomi hijau, teknologi dan halal dengan ketersediaan dana jaminan sehingga RM20 bilion,” jelasnya.

Tambahnya, bagi menyokong fungsi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang dilihat berupaya membasmi kemiskinan, kerajaan menyediakan peruntukan pembiayaan sebanyak RM100 juta.

“(Selain itu) tahun hadapan, RM100 juta dana pembiayaan disediakan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) antaranya bagi membantu lebih banyak koperasi,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya