Pewartaan interim RM300 juta Sabah dibentang tidak lama lagi 

Pewartaan pemberian khas interim RM300 juta Sabah dibentang tidak lama lagi 

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membentang perintah pewartaan pemberian khas interim Sabah sebanyak RM300 juta dalam sesi mesyuarat Dewan Rakyat kali ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali bagaimanapun tidak memberitahu, garis masa tetap untuk membentangkan pewartaan itu. 

“Tentang semakan pemberian khas, ia mesti berkait dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, yang mana syaratnya mesti diwartakan melalui perintah undang-undang. 

“Saya yakin, kementerian akan melakukan proses dan prosedur sepatutnya dan berharap perintah warta ini dapat dibentang dalam sidang Dewan Rakyat kali ini. Begitu juga perkataan interim yang akan dijelaskan nanti.

“Apabila berlaku persetujuan baharu nanti, perintah baharu yang akan dikeluarkan tahun ini juga akan membatalkan warta yang lalu,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab celahan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) bila ia akan dibentang di Parlimen seperti tahun lalu dan jika perkataan ‘interim’ akan dimasukkan di dalam warta itu nanti. 

Pada 25 Oktober lalu, Isnaraissah Munirah membangkitkan persoalan bila kerajaan akan membentang penyata pemberian khas interim Sabah sebanyak RM300 juta.

Pada 7 Mac lalu, Perdana Menteri juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amaun pemberian khas kepada kerajaan Sabah bernilai RM125.6 juta yang dinaikkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sebelum ini masih berkuat kuasa hingga kini. 

Katanya, pemberian khas itu akan terus berkuat kuasa bagi tempoh lima tahun sehingga terdapat persetujuan formula baharu dicapai antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah. 

Bagaimanapun, pada 20 Januari 2023, Anwar mengumumkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk merundingkan formula pemberian khas lebih baik kepada Sabah dan Sarawak termasuk meningkatkan kadar pemberian khas daripada yang telah dipersetujui sebelum ini. 

Katanya, Kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan pemberian khas mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan kepada RM300 juta.

Bagaimanapun, jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula tetap diputuskan.  

Pada 2022, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah mencapai persetujuan untuk menyalurkan pemberian khas tempoh 5 tahun iaitu RM125.6 juta (2022); RM129.7 juta (2023); RM133.8 juta (2024); RM138.1 juta (2025) dan RM142.6 juta (2026). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN