PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk atau dalam pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika perlawanan akhir Pesta Bola Merdeka 2023 malam ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, semua pintu masuk stadium dibuka pada pukul 6 petang dan perlawanan dijadualkan bermula pada pukul 9 malam.
Kata beliau, sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan badan, beg serta barangan dilakukan di setiap pintu masuk dan selepas memasuki pekarangan stadium.
“Penyokong perlu tahu senarai barang terlarang yang tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam stadium. Antaranya mercun, bunga api, suar, topi keledar, pen laser, objek tajam seperti kayu dan besi, senjata tajam dan berbahaya, minuman keras serta tongkat.
“Selain itu power bank, botol air, pemetik api, mancis, rokok, rokok elektronik, vape dan bendera negara lain yang tidak berkaitan dengan perlawanan juga adalah bahan terlarang,” katanya dalam satu kenyataan.
Zam Halim berkata, pelbagai jabatan dan unit diatur gerak sebagai persediaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin.
Jelas beliau, perlawanan akhir antara pasukan Malaysia menentang Tajikistan dijangka dihadiri 45,000 peminat bola.
“Bagi memastikan kelancaran lalu lintas, penyokong dinasihatkan menggunakan pengangkutan awam ke SNBJ. Orang ramai yang tidak ke perlawanan itu dinasihat mengelak menggunakan jalan di sekitar stadium bagi mengelak berlaku kesesakan. Patuhi arahan anggota polis yang bertugas,” ujarnya.
Kata beliau, pengguna jalan raya juga tidak dibenarkan sama sekali untuk meletakkan kenderaan di bahu jalan di sekitar laluan masuk dan keluar stadium bagi mengelak tindakan saman atau kenderaan ditunda.
“Pengguna jalan raya dinasihati mengamalkan sikap bersabar, berhemah dan bertolak-ansur. Kita juga mohon semua pihak menjaga tatasusila serta tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan mahu pun selepas perlawanan itu,” katanya. – UTUSAN