Haram terlibat ritual agama lain termasuk main alat muzik

Haram terlibat ritual agama lain termasuk main alat muzik

Nooh Gadut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan, penyertaan umat Islam dalam perayaan atau ritual keagamaan lain secara langsung atau tidak langsung adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Pengerusinya, Misarahberkata, perbuatan itu boleh membawa kesan buruk dari pelbagai sudut antaranya menjejaskan kemurnian kepercayaan tauhid, melanggar batas hukum dan rujukan fatwa yang sah.

Katanya. ini termasuk mewujudkan pemikiran liberal tanpa panduan syariat serta menjejaskan identiti Islam di mata masyarakat dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ge­nerasi muda.

Menurutnya, Islam mengiktiraf hak penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing, namun, menghormati tidak bererti menyokong atau menyertai ibadah mereka.

“Dalam Islam, terdapat prinsip yang jelas mengenai batas-batas dalam pergaulan dan keterlibatan dengan agama lain.

“Meskipun Islam menggalakkan toleransi dan menghormati penganut agama lain dalam urusan keduniaan, umat Islam dilarang untuk terlibat dalam ritual atau upacara keagamaan agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelasnya, keterlibatan umat Islam dalam ritual agama lain, termasuk memainkan alat muzik yang mengiringi upacara tersebut menimbulkan syubhat dan menggugat akidah terutamanya jika dilakukan dengan niat untuk turut serta memuliakan ritual tersebut.

Katanya, ulama daripada empat mazhab, Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, telah bersepakat bahawa hukum umat Islam menghadiri upacara ritual perayaan keagamaan bukan Islam adalah haram dan dilarang sama sekali.

“Upacara ritual keagamaan bukan Islam ini termasuklah di rumah ibadat mahu pun di tempat-tempat lain yang biasa dilaksanakan upacara ritual tersebut.

“Tidak semua yang dinamakan budaya adalah bebas nilai. Apabila unsur budaya digunakan dalam konteks ibadah agama lain, ia tidak lagi sekadar budaya, tetapi menjadi sebahagian daripada ritual agama tersebut.

“Justeru, paluan kompang da­lam majlis pemujaan berhala bukanlah lagi sekadar budaya, tetapi perbuatan yang perlu dielakkan kerana boleh ditafsir sebagai sokongan kepada unsur syirik,” katanya.

Dalam pada itu, Nooh berkata, hukum meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa upacara ritual keagamaan adalah harus dan dibenarkan menurut sebilangan ulama.

Sebagai contoh majlis rumah terbuka atau majlis makan malam bersempena hari perayaan bukan Islam dan seumpamanya dengan syarat jamuan yang disediakan adalah halal dan tiada hiburan atau aktiviti yang dilarang oleh syarak.

Katanya, orang ramai boleh merujuk maklumat berkaitan “Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam” yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2005 dan panduan-panduan hukum serta fatwa-fatwa negeri boleh dijadikan rujukan oleh masyarakat Islam di Malaysia dalam hal ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa menjaga akidah adalah tanggungjawab setiap Muslim dan umat Islam hendaklah menjauhi sebarang bentuk penyertaan dalam ritual keagamaan agama lain, walaupun atas alasan budaya atau simbolik.

“Institusi pendidikan, masjid dan media perlu memperkukuhkan pendidikan akidah yang betul berdasarkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Pada masa sama, katanya, semua pihak termasuk ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat dan badan berautoriti perlu bertindak bijaksana membimbing umat agar tidak terjebak dalam kekeliruan nilai antara agama dan budaya.

Katanya, masyarakat awam juga dinasihatkan agar sentiasa memelihara akidah dan sensitiviti agama dengan tidak melibatkan diri dalam sebarang upacara, perarakan atau ritual keagamaan bukan Islam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN