KUALA LUMPUR: Seorang pesara kerugian RM86,000 selepas wang pesaraannya yang digunakan untuk memiliki rumah idaman ditipu sebuah syarikat ‘koperasi’.
Mangsa, Senin Untung, 62 berkata, dia tertarik dengan promosi ditawarkan seorang ejen syarikat berkenaan yang menjanjikan sebuah kediaman yang lengkap dapat disiapkan dalam tempoh tiga bulan.
Katanya, dia menggunakan wang persaraan untuk membina rumah di atas tanah milik sendiri dan menggunakan ejen yang berpejabat di Serdang bagi menyiapkan projek itu dalam tiga bulan.
“Pada peringkat awal, dia (ejen) datang untuk mengukur bidang tanah dan meminta saya membuat pembayaran, lalu, saya membayar sebanyak RM86,000.
“Selepas tiga bulan menanti, tiada langsung perkembangan yang berlaku di tanah milik saya,” katanya ketika ditemui semasa menyerahkan memorandum di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman, di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, setakat ini, pihaknya menerima hampir 90 aduan daripada individu yang menjadi mangsa syarikat terbabit.
Katanya, syarikat terbabit yang berpangkalan di Sarawak itu giat mencari mangsa di seluruh negara sejak 2019 sehingga ke hari ini.
“Syarikat ini merupakan satu kumpulan manusia yang tidak bertanggungjawab yang bertopengkan koperasi dan syarikat berhad untuk menipu.
“Saya masih boleh terima jika penipuan berkaitan pelaburan kerana mungkin pelaburan ini untuk mencari keuntungan tambahan, tetapi, penipuan ini melibatkan pembinaan rumah yang menjadi impian semua orang,” katanya.
Menurutnya, sindiket itu menawarkan beberapa pakej antaraya pakej pelaburan bagi individu mempunyai tanah sendiri dan pakej berbeza untuk mereka yang tidak memiliki tanah.
Katanya, rata-rata pemilik tanah diminta membuat pembayaran sehingga RM100,000 dan dijanjikan sebuah kediaman dalam tempoh beberapa bulan namun semuanya hampa apabila tanah milik mereka dibiarkan terbengkalai.
“Syarikat berkenaan akan memulakan kerja pembinaan di tanah terbabit, namun, lesap selepas bayaran diterima dan tanah berkenaan dibiarkan.
“Individu yang tidak memiliki tanah pula, mereka ditawarkan pakej pelaburan yang akhirnya menjanjikan sebuah rumah tetapi tidak diberitahu di mana lokasi,” ujarnya.
Kata beliau, selepas menerima wang daripada mangsa, syarikat berkenaan tidak menunaikan janji, malah hanya memberikan saham syarikat kepada mangsa.
Hishamuddin berkata, saham itu dilihat tidak bernilai kerana syarikat terbabit tidak mempunyai aset, malah tiada permohonan pembinaan rumah dibuat oleh syarikat berkenaan seperti dijanjikan.
“MHO memohon pihak polis khususnya JSJK memberi perhatian kepada isu ini berikutan sudah banyak mangsa yang tampil,” jelasnya.
Tambah Hishamuddin, maklumat awal mendapati terdapat lebih 500 peserta dalam program ‘pelaburan’ syarikat ini yang menggunakan ejen pemasaran untuk mempromosikan pakej yang ditawarkan
“Ia termasuk mangsa di Sabah, Sarawak dan di semenanjung dianggarkan kerugian mencecah RM20 juta berdasarkan mangsa yang diterima pihak MHO,” katanya.-UTUSAN










