Peruntukan RM6.8 bilion TVET, naik taraf institusi dan kursus

Peruntukan RM6.8 bilion TVET, naik taraf institusi dan kursus baharu

AHMAD ZAHID Hamidi bercakap dalam sidang akhbar selepas merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Tangga Batu di Taman Paya Rumput Utama, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan tidak bercadang untuk membina institusi baharu dalam memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, peruntukan berjumlah RM6.8 bilion diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 Jumaat lalu akan digunakan untuk menaik taraf institusi sedia ada dan menambah kursus-kursus baharu.

Menurutnya, TVET juga akan diperbesarkan bagi memberi peluang pengambilan lebih ramai pelajar mengikuti kursus-kursus bentuk baharu yang akan diperkenalkan nanti.

“Sekarang ini kita mempunyai 1,334 TVET di seluruh negara meliputi 12 kementerian, yang penting bukan menambah banyaknya institusi baharu. Tetapi yang lebih penting kita menyediakan lebih banyak kursus-kursus terbaharu dan menambah baik infrastruktur sedia ada.

“Selain itu kita memperbesarkan TVET sedia ada bagi pengambilan lebih ramai mereka yang akan mengikuti kursus bentuk baharu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan pejabat baharu UMNO Bahagian Tangga Batu di Taman Paya Rumput Utama di sini, semalam.

Tambah Ahmad Zahid, kursus baharu berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan tenaga solar adalah sebahagian usaha bagi memperkasakan TVET khususnya di Melaka.

Jelasnya, terdapat beberapa lokasi seperti di Tanjung Malim dan Kerian, Perak yang disebut oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023 dan di Melaka perancangannya telah dilakukan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh bagi merealisasikan pelaksanaannya.

“Kita akan wujudkan TVET baharu bersesuaian dengan EV dan tenaga solar di Melaka kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) mempunyai kutipan bulanan tertinggi di negeri ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya