PETALING JAYA: Pelakon, Angeline Tan, 56, enggan mengambil peduli tindakan seorang pendakwah yang mempersoalkan kesahihan perkahwinannya dengan pelakon, Sabri Yunus, 62.
Jelas pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu, pernikahannya dengan Sabri sah di sisi syariat Islam dan tidak wajar dipertikaikan mana-mana pihak.
“Saya tidak terguris dengan dakwaan yang dilemparkan dan yakin perkahwinan kami adalah sah di sisi Islam. Tidak perlu individu itu memperoalkan kerana kami pernikahan kami disaksikan pegawai bertauliah selain disaksikan ilmuan Islam yang berpengetahuan dalam soal agama seperti Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Prof. Dr. Muhammad Rozaimi Ramli.
“Saya tak pasti kenapa pendakwah dari Indonesia itu membuat dakwaan sedemikian sedangkan beliau bukan dalam kalangan kira-kira 25 orang menyaksikan secara depan mata majlis pernikahan kami.
“Tapi saya menerima keadaan ini dari sudut positif. Mungkin Allah S.W.T nak membuka mata kita kepada kebenaran. Jadi saya tak perlu nak hiraukan pertikaian yang dicetuskan individu terbabit kerana nikah saya sah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang pendakwah menerusi ceramahnya baru-baru ini mendakwa pernikahan pasangan selebriti itu tiga hari lalu tidak sah kerana tidak memenuhi ucapan ijab kabul sepatutnya.
Pendakwah tersebut, secara melulu turut menuduh pasangan itu berzina atas sebab perkara tersebut.
Dalam masa yang sama, Angelina bersyukur kerana masyarakat tidak terpengaruh dengan dakwaan yang dilemparkan sebaliknya memberi sokongan dan kata-kata semangat buat dia dan suami.
“Saya baru memeluk Islam namun saya tahu ada hukum yang ditetapkan dan Islam bukan agama yang rumit.
“Sekurang-kurangnya saya bersyukur kerana netizen bersikap positif dan menyambut baik pernikahan kami. Ramai yang membantah dakwaan pendakwah tersebut.

“Saya anggap apa yang berlaku sebagai proses pembelajaran untuk saya dan masyarakat belajar tentang mana yang betul dan sebaliknya. Ini semua aturan Allah, sekurang-kurangnya kita tahu pernikahan tidak perlu dirumitkan, cukup dilangsungkan mengikut syariat,” katanya lagi. ‘Sah atau tidak akad nikah tertakluk hukum, peraturan sesebuah negeri’
Sementara itu di PUTRAJAYA, mengulas isu tersebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mohktar berkata, sah atau tidak sesuatu akad nikah tertakluk kepada peraturan dan hukum
ditetapkan pihak berkuasa agama di negeri berkenaan. Mohd Na’im berkata, hukum dan peraturan itu tertakluk kepada siapa yang berkuasa iaitu mufti yang dilantik.
“Di Wilayah Persekutuan adalah (kuasa melantik) Yang di-Pertuan Agong dan di negeri pula adalah Sultan bagi negeri-negeri,” ujarnya.
“Dalam bab perkahwinan ini, kita lihat dari sudut hukum dan ia sudah dijelaskan dalam kaedah perkahwinan termasuklah di Perlis iaitu macam mana orang yang mengahwinkan dan orang yang menerima perkahwinan.
“Adakah mungkin cukup sekadar aku terima seperti yang ditawarkan kepadaku macam Inggeris kata ‘I do’,” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Apresiasi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), semalam.
Mohd Na’im berkata, pihak yang berkuasa untuk menentukan sama ada perkahwinan itu sah atau tidak ialah badan agama yang berkuasa di Perlis dan yang di luar (pihak lain) sekadar boleh memberikan pandangan sahaja.-UTUSAN









