Peralihan ekonomi kitar semula kurangkan jumlah janaan sisa

Peralihan ekonomi kitar semula kurangkan jumlah janaan sisa

NGA Kor Ming ketika lawatan tapak pameran selepas Majlis Sambutan Hari Inovasi KPKT 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Negara perlu beralih kepada ekonomi kitar semula kerana kaedah tersebut boleh memanfaatkan sisa, mengoptimumkan kitaran hayat produk serta meningkatkan penggunaan sumber bagi mengurangkan jumlah janaan sisa.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, kesan peralihan tersebut juga amat besar dalam tempoh 30 ke 50 tahun akan datang sebagai legasi kepada generasi seterusnya.

“Penubuhan Majlis Ekonomi Kitaran Nasional (NCEC) memerlukan daya cipta dan kreativiti untuk mempercepat agenda peralihan pengurusan sisa pepejal negara ini daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran secara holistik,” katanya ketika berucap sempena Hari Inovasi KPKT 2023 hari ini.

Beliau pada masa sama, menyeru semua warga kementerian agar terus kreatif dan inovatif bagi meningkatkan keupayaan serta keberkesanan sebagai agen perkhidmatan awam dalam menyampaikan khidmat kepada rakyat.

Katanya, ia sebagai menyambut aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan sebuah negara berdaya cipta yang akan menyediakan persekitaran dan infrastruktur untuk merangsang kreativiti serta menggalakkan penghasilan sistem, produk, idea dan proses yang lebih maju.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, laporan Indeks Inovasi Global (GII) yang dikeluarkan oleh World Intellectual Property Organisation (WIPO) menunjukkan Malaysia berada di tangga ke-36 daripada 132 negara bagi tiga tahun berturut-turut iaitu 2021, 2022 dan 2023.

Jelasnya, laporan tersebut turut menunjukkan Malaysia menduduki tangga kedua negara paling berinovatif selepas China dalam kalangan 36 negara ‘upper-middle income’ dengan kenaikan satu tangga berbanding tahun lalu.

“Sasaran seterusnya adalah memastikan Malaysia termasuk 30 negara teratas dalam GII menjelang 2025 seiring dengan hasrat Malaysia Madani untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya cipta dan pengeluar teknologi menjelang 2030,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya